Seramai 30 pati cuba memasuki negara ini melalui laluan tidak sah di sempadan negara Malaysia-Thailand di sini, petang semalam. FOTO Ihsan ATM
Seramai 30 pati cuba memasuki negara ini melalui laluan tidak sah di sempadan negara Malaysia-Thailand di sini, petang semalam. FOTO Ihsan ATM
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menahan 30 pendatang asing tanpa izin (Pati) ketika cuba memasuki negara ini melalui laluan tidak sah di sempadan negara Malaysia-Thailand di sini, petang semalam.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataannya berkata kesemua Pati warga Myanmar itu ditahan menerusi tangkapan di bawah Sektor Op Benteng di Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia di Bukit Kayu Hitam.

"Kira-kira jam 3.30 petang, sepasukan anggota ronda yang sedang melaksanakan tugas rondaan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand telah mengesan pergerakan sekumpulan orang awam yang dalam keadaan mencurigakan bersembunyi di kawasan belukar di dalam kebun getah.

"Anggota bertugas bersama pasukan Quick Respond Force (QRF) seterusnya bertindak menjejaki dan menahan kesemua orang awam tersebut seramai 30 orang," katanya.

Menurut kenyataan itu, hasil pemeriksaan mendapati 24 lelaki dan empat wanita warganegara Myanmar berusia 15 hingga 42 tahun itu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Turut dirampas adalah 27 buah telefon bimbit, wang tunai dalam mata wang Malaysia, Myanmar dan Thailand, 24 kad pengenalan warga Myanmar dan beg pakaian dengan keseluruhan anggaran rampasan bernilai RM17,163.

Kesemua Pati terbabit kemudiannya diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 11:21 AM