NOR Aliza melihat pokok pisang di perkarangan rumahnya yang dirosakkan gajah. FOTO Nazdy Harun
NOR Aliza melihat pokok pisang di perkarangan rumahnya yang dirosakkan gajah. FOTO Nazdy Harun
Nazdy Harun


Kuala Berang: "Selagi kawanan gajah ini tidak ditangkap atau diusir, saya tidak lena tidur kerana awal pagi tadi haiwan itu datang lagi merosakkan pokok pisang di perkarangan rumah saya pula," kata Nor Aliza Matzim, 45, dari Kampung Basung, di sini.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 1 pagi apabila dia terdengar bunyi seperti pokok dipatahkan dan sebaik membuka tingkap, dia melihat beberapa ekor gajah berada di kawasan rumahnya.

Katanya, gajah terbabit menjadikan pokok pisang di perkarangan rumahnya sebagai sasaran untuk mendapatkan makanan.

"Saya dan keluarga tidak berani mengusir haiwan itu dan membiarkan saja bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

"Saya khuatir dengan keselamatan keluarga apabila sekumpulan gajah sudah mula berani memasuki kawasan kampung dan menghampiri rumah penduduk untuk mendapatkan makanan," katanya.

Menurutnya, selain merosakkan tanaman penduduk, ancaman utama adalah nyawa kerana gajah terbabit berkeliaran di dalam kampung.

"Saya harap masalah ini diatasi segera kerana bimbang keselamatan dan harta benda yang akan dirosakkan gajah terbabit sekiranya tiada lagi makanan.

"Penduduk kampung juga takut keluar malam kerana bimbang terserempak dengan haiwan berkenaan pada waktu malam," katanya.

Semalam portal MyMetro melaporkan masalah penduduk di tiga kampung di daerah ini apabila sekumpulan gajah liar menceroboh kebun dan kawasan penempatan penduduk.

Gangguan itu membabitkan Kampung Basung, Kampung Pasir Dula dan Kampung Padang Setebu.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong dilaporkan berkata, pihaknya sudah menghantar pasukan operasi untuk menangkap gajah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 11:20 AM