PENDUDUK menunjukkan pokok getah yang dirosakkan gajah liar di Kampung Batu Melintang Luar.
PENDUDUK menunjukkan pokok getah yang dirosakkan gajah liar di Kampung Batu Melintang Luar.
HM Digital

Jeli: Lebih 100 penduduk di Kampung Batu Melintang Luar, di sini, kebimbangan apabila kawasan kebun dan penempatan mereka terus diganggu kumpulan gajah liar hampir seminggu lalu.

Walaupun minggu lalu, dua gajah liar ditangkap dan dihantar ke habitat lebih selamat, namun dua kumpulan antara tiga hingga lima gajah liar masih berkeliaran di kawasan itu.

Penduduk, Ridzuan Mohamed, 54, berkata, kumpulan gajah itu mendiami hutan simpan berdekatan dan sering memasuki kawasan tanaman penduduk untuk mencari makanan.

“Ia terbukti apabila penduduk beberapa kali terserempak kumpulan gajah liar berkenaan di kawasan kebun masing-masing dan merosakkan tanaman termasuk pokok getah serta pisang.

“Kami yakin masih ada baki kumpulan gajah yang keluar masuk ke kampung ini walaupun beberapa tangkapan dilakukan,” katanya di sini, semalam.

Katanya, situasi diganggu haiwan liar itu sudah dialami penduduk lebih 10 tahun lalu, namun hingga kini masih tiada penyelesaian.

Penduduk, Mohammad Ismail, 74, menyifatkan ancaman gajah liar di kampung itu menyebabkan penduduk menanggung kerugian besar kerana tanaman musnah, sekali gus menjejaskan pendapatan mereka.

“Walaupun, kebanyakan penduduk memiliki kawasan pertanian yang luas tetapi ia tidak bermakna kerana hasil tanaman diusahakan sering dimusnahkan,” katanya.

Sementara itu, Penghulu Mukim Gunung Reng, Aidi Abdul Rahman berkata, pemantauan dan penyelenggaraan terhadap pemasangan sistem pagar elektrik di kawasan itu perlu dipertingkatkan bagi menangani masalah berkenaan.

Katanya, pagar elektrik sudah dipasang oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bermula dari Kampung Batu Melintang sehingga Kampung Lata Janggut, di sini, sejauh 12 kilometer.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 3:43 AM