FARIZAL melihat ladang pisang miliknya dimusnahkan sekumpulan gajah liar.
FARIZAL melihat ladang pisang miliknya dimusnahkan sekumpulan gajah liar.
Amir Hamzah Nordin

Jerantut: Tidak sampai tempoh seminggu, penduduk di mukim Pulau Tawar dan FELDA Gelanggi, di sini, ‘digegarkan’ lagi dengan serangan terbaru gajah liar yang merosakkan tanaman mereka.

Dalam kejadian kelmarin, dianggarkan 25 ekor haiwan itu menceroboh kebun di Kampung Pulau Tawar, Kampung Batu Leja dan Bukit Nikmat di sini, dipercayai untuk mencari makanan.

Kejadian itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk berhubung keselamatan mereka kerana serangan gajah itu semakin kerap berlaku sejak kebelakangan ini.

Malah mereka juga terpaksa menanggung kerugian sehingga mencecah ribuan ringgit apabila tanaman mereka dirosakkan.

Pengusaha kebun sawit dan pisang di Kampung Pulau Tawar, Farizal Sulaiman, 31, berkata, dia hanya mampu menepuk dahi apabila melihat tanamannya dimusnahkan haiwan itu.

“Hampir 95 peratus tanaman pisang dan kelapa sawit musnah, haiwan ini biasanya menceroboh kebun saya pada waktu malam.

“Bukan itu saja, mamalia besar itu juga merosakkan pagar dan saluran paip air membabitkan jumlah kerugian dianggarkan RM70,000,” katanya.

Farizal memberitahu, dalam tempoh lima hari ini, sudah tiga kali kumpulan gajah liar menceroboh dan merosakkan ladang tanaman penduduk.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri Ahmad Azhar Mohammed berkata, pihaknya memasang sebanyak 30 unit lampu Light Emitting Diode (LED) berwarna biru di lokasi tertentu dalam usaha menghalang gajah itu menghampiri tanaman dan kediaman penduduk.

“Malangnya usaha menghalau gajah liar terbantut apabila ada individu tidak bertanggungjawab mencuri lampu berkenaan menyebabkan haiwan itu masuk semula ke dalam kebun penduduk.

“Selain itu, tindakan orang ramai yang gemar menonton gajah liar menyeberangi Sungai Batui Batu sedikit sebanyak mengganggu haiwan itu pulang ke habitat asalnya. Akibatnya gajah itu berpatah balik ke kawasan kampung berdekatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2017 @ 3:51 AM