GAJAH jantan liar seberat 2.5 tan dipindahkan dengan menggunakan dua gajah denak betina, hari ini. FOTO Bernama
GAJAH jantan liar seberat 2.5 tan dipindahkan dengan menggunakan dua gajah denak betina, hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Berang: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu mengambil masa kira-kira lima jam untuk memindahkan seekor gajah jantan liar di Kampung Basung, di sini, hari ini.

Pengarah Perhilitan Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata, haiwan seberat 2.5 tan itu ditangkap pada 3 petang Isnin lalu melalui kaedah tembakan ubat pelali.

Beliau berkata, sebelum operasi itu, pihaknya membuat pemantauan sejak 18 Ogos lalu susulan aduan penduduk kampung mengenai sekumpulan gajah sering berkeliaran dan merosakkan tanaman.

"Hari ini, kita menggunakan dua gajah denak betina iaitu Suria dan Kala dari Pusat Konservasi Gajah, Sungai Deka, Hulu Terengganu untuk proses memindahkan gajah liar berusia 15 tahun itu.

"Hasil risikan di kawasan sekitar mendapati terdapat kira-kira 14 gajah dalam kumpulan ini dan Perhilitan Terengganu akan terus memantau pergerakan gajah lain yang masih berkeliaran," katanya kepada pemberita selepas operasi pemindahan gajah berkenaan, di sini.

Abdul Malek berkata, gajah itu akan dilepaskan semula ke habitat baharu yang selamat dan jauh daripada penempatan penduduk.

Sementara itu, seorang pekebun, Mohd Salleh Hamid, 48, berkata masalah pencerobohan gajah di kawasan kebun sekitar Kampung Basung dan Kampung Pasir Dula berlaku berterusan sejak dua tahun lalu.

"Serangan gajah di sini semakin kerap apabila tiba musim buah-buahan sejak Julai lalu.

"Haiwan liar itu bukan sahaja makan buah cempedak dan durian, malah merosakkan tanaman sehingga menyebabkan ramai pekebun kerugian sekitar RM3,000 hingga RM5,000 seorang.
"Penangkapan gajah itu sekurang-kurangnya mengurangkan kerisauan penduduk kampung terhadap ancaman gajah liar yang ada kala berkeliaran sehingga ke perkarangan rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 5:25 PM