ANTARA mat rempit yang ditahan kerana menunggang secara berbahaya di Perlis. FOTO ihsan PDRM
ANTARA mat rempit yang ditahan kerana menunggang secara berbahaya di Perlis. FOTO ihsan PDRM
Aizat Sharif


Arau: Tujuh mat rempit ditahan polis dari Skuad 42 Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis dalam Ops Samseng Jalanan dan Lumba Haram di sekitar Perlis pada Isnin lalu.

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata, lelaki termasuk remaja berusia 16 hingga 20 tahun itu ditahan selepas melakukan aksi menunggang secara melulu dan merbahaya sekitar jam 12.01 pagi bermula di Kilometer (KM) 17 sehingga KM10 Jalan Kuala Perlis-Changlun.

"Suspek didapati menunggang dengan cara berlumba sesama sendiri dalam kelajuan yang tinggi sambil memotong secara berbahaya antara mereka dengan menundukkan kepala mereka secara rapat dengan pemegang motosikal masing-masing.

"Kumpulan itu kemudian berpatah balik dan melakukan aksi yang sama di laluan berkenaan dan anggota kita segera membuat pengecaman dengan mengekori suspek dalam jarak dekat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, suspek yang tidak menyedari bahawa mereka sedang diekori polis itu kemudian berhenti di sebuah rumah di Sanglang.

"Polis kemudian bertindak menahan serta merta suspek yang disyaki terbabit dalam gejala lumba haram itu.

"Kita juga merampas motosikal milik suspek dan mereka dibawa ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau untuk tindakan lanjut," katanya.

Surina berkata, siasatan awal pihaknya mendapati suspek sering menjadikan laluan terbabit sebagai medan untuk mereka melakukan aksi lumba haram serta aksi tunggangan motosikal secara melulu dan berbahaya kepada pengguna jalan raya lain.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih dari lima tahun dan denda tidak kurang dari RM5,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2022 @ 4:56 PM