ANTARA peserta OKU yang menyertai pertandingan memancing. FOTO Nazdy Harun
ANTARA peserta OKU yang menyertai pertandingan memancing. FOTO Nazdy Harun
Nazdy Harun


Kuala Terengganu: "Sejak dilahirkan ini merupakan pengalaman pertama saya dapat memegang joran dan menyertai pertandingan memancing, detik ini akan saya kenang buat selamanya," kata Nurul Syahida Zainun Abidin, 25, yang juga merupakan orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan.

Menurutnya, bergelar OKU cacat penglihatan tidak seperti OKU cacat anggota kerana pergerakan OKU cacat penglihatan amat terbatas apatah lagi hendak melakukan aktiviti seperti individu normal.

Katanya, inisiatif yang diambil Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Wilayah Terengganu dengan menganjurkan pertandingan memancing setidak-tidaknya memberi peluang kepada OKU cacat penglihatan merasai pengalaman memancing seperti individu normal.

"Ini merupakan kali pertama saya memegang joran dan merasai bagaimana menaikkan ikan yang dipancing, walaupun tidak dapat melihat namun saya dapat merasai keterujaannya.

"Takdir Allah tidak siapa yang tahu namun kesempatan yang diberi ini membolehkan saya merasai pengalaman memancing yang sering diperkatakan sebelum ini," katanya.

Rakannya, Muhammad Hafiz Syazwan Ramlan, 19, berkata, peluang menyertai pertandingan memancing ini sukar dilupakan kerana di tidak terlintas akan memegang joran dan memancing kerana kekurangan yang ada pada diri.

"Kami bukan insan normal yang mudah untuk bergerak, apatah lagi melakukan aktiviti memancing yang memerlukan bantuan pancaindera untuk melakukan aktiviti berkenaan.

"Alhamdulillah, pengalaman pertama ini memberi saya satu pengalaman baru walaupun tidak dapat melihat seperti individu normal namun sekurang-kurangnya dapat juga merasai bagaimana membawa naik ikan melalui mata pancing," katanya.

Pengerusi PERTIS Mohd Fauzi Mansor berkata, seramai 20 OKU cacat penglihatan bersama empat pengiring dibawa menyertai pertandingan memancing dengan kerjasama Kelab Rukun Tetangga (KRT) Kampung Alor Limbat.

"Sebelum ini, ahli kami hanya dengar saja pasal memancing di kolam namun kali ini mereka dapat merasai sendiri bagaimana suasana memancing walaupun dalam keadaan kekurangan.

"Kalau hendak pergi sendiri memang mustahil kerana keterbatasan pergerakan selain boleh mengganggu individu normal yang hendak memancing," katanya.

Menurutnya, pelbagai aktiviti dianjurkan PERTIS buat ahlinya dan ia memberi satu pengalaman serta meningkatkan keyakinan diri dalam kalangan ahli untuk menempuh kehidupan seharian.

Katanya, OKU cacat penglihatan tidak seharusnya merasakan diri mereka terpinggir kerana kekurangan yang ada malah mereka juga harus membuktikan kemampuan diri sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2022 @ 2:06 PM