HANAFI  dan isteri melihat Haniff  yang menghidap jantung berlubang mendapat rawatan susulan di Hospital Gleneagles.
HANAFI dan isteri melihat Haniff yang menghidap jantung berlubang mendapat rawatan susulan di Hospital Gleneagles.
Siti Salmiah A Hamid


Kuala Lumpur: Tiada apa yang lebih bermakna bagi pasangan suami isteri Hanafi Abdullah, 22, dan Siti Zubaidah Ali, 25, selain ingin melihat cahaya mata sulung mereka normal dan sihat seperti bayi lain.

Namun, anak mereka, Haniff Mateen Hanafi berusia sebulan kini dikesan mempunyai jantung berlubang (VSD) sebaik dilahirkan serta berdepan saluran darah tidak normal atau dikenali sebagai truncus arteriosus serta memerlukan pembedahan segera dengan kos RM80,000.

Hanafi mengakui buntu untuk mencari wang sebanyak itu bagi menanggung kos pembedahan anaknya berikutan dia tidak mempunyai pendapatan tetap bulanan manakala isterinya tidak bekerja.

Menurut Siti Zubaidah, dia dan bayinya tidak mengalami sebarang masalah sepanjang mengandung.

“Selepas dilahirkan, barulah doktor mengenal pasti penyakitnya sebelum mengesahkan Haniff mempunyai lubang besar pada jantungnya dan masalah saluran darah tidak normal.

“Sejak itu, hospital ibarat rumah kedua kami, malah Haniff ditempatkan di wad kecemasan kerana tidak mampu bernafas secara semula jadi dan perlu bergantung kepada bantuan oksigen,” katanya ketika ditemui di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Disebabkan tiada aliran oksigen, badan Haniff lemah, kebiruan manakala degup jantungnya menjadi sangat laju hingga boleh mengakibatkan kematian.

Malah, Haniff juga terpaksa menyusu menggunakan tiub.

Siti Zubaidah dan suaminya yang menetap di Kuching, Sarawak, berharap bayi mereka itu dapat menjalani pembedahan agar mampu menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain.

Nasib sama turut menimpa Ching Woon Choon, 52, yang risau dengan keadaan anak keduanya, Ching Jin Sheng, 18, yang dilahirkan dengan ‘tetralogy of fallot’ (TOF) atau masalah jantung berlubang dan saluran injap jantung tersumbat.

Menurut Ching, pembedahan pertama menutup lubang pada jantung anaknya dibuat ketika berumur dua tahun di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur.

“Doktor yang merawatnya berkata anak saya perlu menjalani pembedahan kedua tapi tidak dinyatakan bila namun lama kelamaan saluran injap jantungnya semakin kembang dan ini boleh mendatangkan risiko kematian pada bila-bila masa.

“Justeru, doktor mengesyorkan kami melakukan pembedahan kedua secepat mungkin,” katanya.

Ching yang menetap di Jalan Meru, Klang, berkata, sebanyak RM60,000 diperlukan bagi menampung pembedahan kedua.

“Dia tidak boleh melakukan aktiviti lasak termasuk bersukan dan bekerja berat akan menyebabkan dia mengalami sesak nafas dan lemah badan.

“Saluran injap yang semakin kembang juga antara punca dia sering mengalami sesak nafas.

“Saya berharap Jin Sheng kembali sihat seperti dulu dan mampu menjalani kehidupan ini dengan lebih lama,” katanya.

Kedua-dua keluarga ini memerlukan bantuan orang ramai dengan menyalurkan sumbangan ke tabung MEDIA PRIMA-NSTP HUMANITARIAN FUND di akaun Maybank 514105323170.

Cek juga boleh dihantar ke alamat Bahagian Kumpulan Komunikasi Korporat, Media Prima Berhad, Tingkat 1, Anjung Riong, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atas nama pesakit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 8:06 AM