PESAKIT jantung, Raiqisha Nur Jannah Arwin (kiri) bersama ibu, Nurul Ain Nabilah Ismail (dua kiri) dan bapa, Arwin Samshah Samsuddin (dua kanan). FOTO Rosela Ismail
PESAKIT jantung, Raiqisha Nur Jannah Arwin (kiri) bersama ibu, Nurul Ain Nabilah Ismail (dua kiri) dan bapa, Arwin Samshah Samsuddin (dua kanan). FOTO Rosela Ismail
Yusliza Yakimir Abd Talib

HANYA empat bulan selepas anak bongsu, Raiqisha Nur Jannah Arwinsamshah yang menghidap jantung berlubang selesai menjalani pembedahan, lelaki ini sekali lagi diuji apabila isterinya, Nurul Ain Nabilah Ismail, 22, koma selepas terbabit dalam kemalangan.

Hati suami mana yang tidak luluh melihat isteri tercinta terlantar tak berdaya malah di saat anaknya itu terpaksa ‘berpisah’ seketika dengan ibu tersayang.

Biarpun hampir setahun detik hitam itu berlalu, ia terus terpahat dalam memori Arwinsamshah Samsudin, 33, yang reda dengan setiap dugaan. Meskipun ujian itu terasa begitu berat buatnya, dia mengharunginya dengan reda dan tabah.

Bapa kepada dua cahaya mata berusia lima dan dua tahun itu turut bersyukur isterinya kini semakin pulih daripada kecederaan otak yang dialaminya walaupun ingatan wanita itu masih belum pulih sepenuhnya.

“Ketika mendapat berita isteri dilanggar kenderaan pacuan empat roda semasa pulang dari tempat kerja, seakan-akan dunia ini gelap gelita. Hati bergetar dan degupan jantung terasa begitu kencang. Sukar untuk saya mempercayai berita itu.

“Zikir tidak henti meniti di bibir, dan tidak henti-henti saya memanjatkan doa agar tiada apa-apa yang serius berlaku padanya. Ketika itu saya hanya memikirkan Raiqisha yang baru berusia setahun kerana dia lebih rapat dengan ibunya.

KEADAAN Raiqisha selepas menjalani pembedahan jantung.
KEADAAN Raiqisha selepas menjalani pembedahan jantung.

“Apabila melihat keadaan Nurul Ain, saya berasa amat lemah. Terasa begitu berat dugaan yang diberikan kepada saya ketika itu. Walaupun sangat sedih, saya mengingatkan diri untuk menjadi insan yang kuat demi isteri dan anak.

“Doktor memberitahu Nurul Ain mengalami pendarahan otak hingga kepalanya terpaksa ditebuk untuk mengeluarkan darah beku. Saya mendengar penerangan doktor dan akur dengan nasihat mereka. Selepas pembedahan, lebih

sebulan isteri saya koma dan dua bulan dia ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Akibat kejadian itu, dia mengalami kesukaran untuk mengingat, malah sebaik sedar daripada koma, saya pun dia tidak ingat. Siapa yang tidak sedih melihat insan yang kita sayang dalam keadaan begitu.

“Namun saya tetap pasrah dan berserah sepenuhnya kepada Allah. Dia sebaik-baik perancang yang mendengar rintihan dan doa hamba-Nya. Doa saya dimakbulkan dan alhamdulillah, lama-kelamaan ingatan Nurul Ain semakin pulih selepas menerima rawatan demi rawatan di hospital,” katanya.

Menurutnya, sepanjang isterinya di ICU, dialah mengambil tanggungjawab menjaga kedua-dua anak mereka. Dialah ayah, dia juga ibu. Setiap hari, dia meluangkan masa melawat isterinya yang terlantar.

Walaupun sukar, dia bersyukur kedua-dua anaknya tidak banyak meragam, seolah-olah tahu dugaan yang menimpa keluarga mereka ketika itu dan memudahkan semua urusannya.

NURUL Ain dan Raiqisha semakin sihat.
NURUL Ain dan Raiqisha semakin sihat.

Arwinsamshah berkata, dia begitu bersyukur selepas ujian demi ujian menimpanya, Nurul Ain kini semakin pulih manakala Raiqisha melalui kehidupan aktif seperti kanak-kanak lain. Ini adalah anugerah yang tidak ternilai buatnya.

Melihat keletah Raiqisha ketika majlis sambutan istimewa anjuran Gleneagles Kuala Lumpur, Celebrating Our Heart Heroes di ibu kota baru-baru ini, mungkin tiada siapa menyangkakan si kecil ini pernah berdepan detik cemas pada awal kelahirannya.

Arwinsamshah berkata, segalanya bermula selepas Raiqisha dilahirkan. Tidak pernah diduga anaknya menderita penyakit jantung berlubang kerana sepanjang dalam kandungan, tiada sebarang masalah atau keadaan abnormal dikenal pasti.

“Ketika disusukan ibunya, dia nampak termengah-mengah dan semput. Kami membawanya ke klinik selepas mendapati dia mengalami masalah pernafasan dan semakin risau melihat keadaannya kerana muka dan tangannya kebiru-biruan.

“Raiqisha dirujuk ke hospital dan sebaik diperiksa, doktor mendapati jantung anak saya tidak normal kerana terdapat lubang bersaiz 1.8 milimeter (mm),” katanya.

Mereka buntu apabila mengetahui Raiqisha yang ketika itu baru berusia sebulan menghidap penyakit kecacatan septal ventrikular atau jantung berlubang. Dia dan isterinya tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Apa yang mereka tahu, si kecil mesti dipantau sepanjang masa dan perlu dibedah secepat mungkin.

Arwinsamshah berkata, anaknya itu juga tidak dapat menyusu seperti bayi normal kerana terpaksa menggunakan tiub saluran malah dalam tempoh dua bulan, lubang pada jantung semakin membesar hingga tujuh mm. Keadaan itu membuatkan dia dan Nurul Ain berasa lebih bimbang dan sedih melihat keadaannya.

Jika dulu, mereka biasa mendengar cerita sedih kanak-kanak yang terpaksa ‘menginap’ berbulan lamanya di hospital, kini perkara itu berlaku pada anak sendiri. Selama enam bulan Rayqisha ditempatkan di wad di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang sebelum dirujuk ke Hospital Gleneagles Kuala Lumpur untuk pembedahan.

“Hospital ibarat rumah kedua kami kerana Raiqisha memerlukan bantuan oksigen untuk terus bernafas. Kami berulang alik ke hospital dan dengan pendapatan yang tidak seberapa, memang memberi cabaran besar buat kami. Kalau hendak kumpul duit sendiri, tidak tahu bila kami boleh menyediakan jumlah yang diperlukan untuk membayar kos pembedahan dan rawatan.

“Apatah lagi memikirkan keadaan Raiqisha yang semakin teruk ketika itu, pembedahan segera perlu dijalankan untuk menyelamatkan nyawanya. Rasa sedih dan bimbang memang tidak dapat digambarkan. Perasaan itu bercampur-baur dan hanya kepada Allah kami mengadu.,” katanya.

Dia lega kerana pembedahan membabitkan kos RM50,000 itu mendapat pembiayaan menerusi Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP. Arwinsamshah dan Nurul Ain sangat bersyukur apabila anaknya terpilih menerima bantuan itu dan menjalani pembedahan ketika berusia tujuh bulan pada 2016.

Meskipun masih perlu menjalani rawatan susulan katanya, mereka amat bersyukur kerana dengan bantuan yang diberikan, Raiqisha berpeluang menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.

“Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata betapa bersyukurnya kami melihat Raiqisha kembali aktif dan ceria malah membesar dengan sempurna kini.

“Hanya ucapan terima kasih buat penderma budiman kerana sumbangan anda itu

dapat menyelamatkan ramai nyawa kanak-kanak

seperti Raiqisha dan memberi sinar dalam hidup mereka,” katanya.

MEMORI Arwinsamshah bersama insan tersayang selepas diduga pelbagai ujian.
MEMORI Arwinsamshah bersama insan tersayang selepas diduga pelbagai ujian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 10:44 AM