Sri Ayu Kartika Amri dan Nurul Izzati Zaidi

Kuala Lumpur: Malaysia memerlukan pelan tindakan menyeluruh di semua peringkat agensi kerajaan sebagai persediaan komprehensif menjadi negara tua menjelang 2030.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, pelan tindakan itu bukan hanya di peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tetapi membabitkan semua sektor dalam kerajaan serta komuniti.

"Melihat kepada persediaan pelan tindakan yang ada, memang ia tidak mencukupi, malah kita tahu bahawa negara akan mempunyai lebih ramai warga emas atau masyarakat menua berbanding orang muda menjelang 2030.

"Saya menyarankan pelan tindakan itu akan meliputi soal perumahan, pengangkutan, simpanan, kesejahteraan ekonomi dan sara hidup kumpulan warga emas.

"Ini kerana kesan daripada peningkatan populasi warga emas ini, kita akan melihat kos penjagaan kesihatan sangat tinggi dan impak bebanan dalam bentuk kewangan serta tanggungjawab yang tinggi kepada ahli keluarga," katanya.

Khairy berkata demikian selepas melancarkan Sambutan Hari Warga Emas Tahun 2022 Peringkat Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, hari ini.

KHAIRY Jamaludin pada sidang media majlis perasmian Sambutan Hari Warga Emas Sedunia 2022 Peringkat Hospital Kuala Lumpur (HKL). FOTO Rohanis Shukri
KHAIRY Jamaludin pada sidang media majlis perasmian Sambutan Hari Warga Emas Sedunia 2022 Peringkat Hospital Kuala Lumpur (HKL). FOTO Rohanis Shukri

Katanya, kesedaran mengenai penuaan perlu diterapkan di peringkat awal sebagai persediaan menghadapi usia tua sama ada dari segi emosi, kewangan, kesihatan, persekitaran atau minda.

"Peranan ini perlu dimainkan bersama oleh semua pihak termasuk komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO) agar satu rangkaian sokongan efektif dapat diwujudkan untuk kesejahteraan semua peringkat.

"Justeru, visi sistem kesihatan di Malaysia seharusnya menuju ke arah Seamless Intergrated Care (Penjagaan Bersepadu yang Lancar) di mana peralihan dan kesinambungan penjagaan pesakit dari hospital akan diteruskan secara lancar dan efisien apabila pesakit kembali ke dalam komuniti dan akhirnya ke rumah mereka," katanya.

Dalam pada itu, Khairy turut mengumumkan KKM meluluskan pemberian katil berteknologi tinggi berserta 'ripple mattress' dengan jumlah keseluruhan bernilai RM450,000 kepada Unit Geriatric HKL bagi memastikan penjagaan kesihatan dan rawatan berkualiti kepada pesakit warga emas.

Selain itu, dua unit Potrable Ultrasound (bladder scan) baharu dan seunit Portable Video Rhino Larnygoscope bernilai RM100,000 juga akan ditempatkan di unit berkenaan secara berperingkat pada hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 3:42 PM