KHAIRY ketika berucap pada Majlis Pelancaran Penjagaan Kesihatan Malaysia RangkaTindakan (Blueprint) 2021-2022 secara maya. FOTO Facebook KKM
KHAIRY ketika berucap pada Majlis Pelancaran Penjagaan Kesihatan Malaysia RangkaTindakan (Blueprint) 2021-2022 secara maya. FOTO Facebook KKM
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Rangka Tindakan (Blueprint) Industri Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia 2021 hingga 2025 beraspirasi menyediakan pengalaman melancong di negara ini yang lengkap dengan penjagaan kesihatan perubatan cemerlang serta penyediaan perkhidmatan terbaik dan menyeluruh kepada pesakit.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, rangka tindakan itu unik dan persediaan menghadapi masa depan dengan matlamatnya untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terkemuka selain memberi panduan yang jelas kepada rantaian nilai serta industri penjagaan kesihatan.

Beliau berkata, rangka tindakan itu akan merangkumi lima pendekatan berbeza dan berpaksikan tiga tonggak strategik iaitu ekosistem perjalanan penjagaan kesihatan, jenama penjagaan kesihatan Malaysia serta pasaran.

"Pada 2019, lebih 1.22 juta pelancongmemilih Malaysia untuk mendapatkan penjagaan kesihatan dan ia memberi pulangan hampir RM1.7 bilion kepada negara.

"Bagaimanapun, pandemik Covid-19 memberi kesan hingga menyaksikanpenurunan hasil kepada hampir RM800 juta pada tahun lalu.

"Ketika kita beralih ke endemisiti, keutamaan kita termasuk penyelenggaraan penjagaan dan keselamatan berkualiti tinggi di atas segalanya. Kita perlu meningkatkan prestasi dengan menerima pendigitalan keseluruhan pengalaman perjalanan pesakit," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Penjagaan Kesihatan Malaysia RangkaTindakan (Blueprint) 2021-2022 secara maya di sini hari ini

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengarah Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) Mohd Daud Mohd Arif.

Khairy berkata, rangka tindakan itu membolehkan Malaysia membentuk sempadan baharu untuk mentakrifkan semula pengalaman pesakit melalui pendekatan bersatu dan kolaboratif untuk pendigitalan.

Menurut Khairy, ia akan membolehkan penyedia penjagaan kesihatan menambah baik penyampaian perkhidmatan dan mengukuhkan ketenangan fikiran pesakit terutamanya dalam tawaran khusus Malaysia seperti Hab Kesuburan dan Kardiologi Asia dan Pusat Kecemerlangan Penjagaan Kanser.

"Dengan rangka tindakan ini, kita berhasrat untuk menyediakan Pengalaman Perjalanan Penjagaan Kesihatan Malaysia yang terbaik menjelang 2025 dan saya percaya ia ada dalam genggaman.

"Lagipun, Malaysia sudah menerima pelbagai anugerah antarabangsa, menandakan kualiti dalam penawaran penjagaan kesihatan kami di rantau ini sepanjang dekad yang lalu.

"Pada Julai tahun lalu, kita menunjukkan kepada dunia bagaimana perkongsian awam-swasta antara organisasi seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN) , Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Imigresen(JIM) dan MHTC menghasilkan pembukaan semula sempadan yang selamat dan terkawal," katanya.

Sementara itu, Mohd Daud dalam ucapannya berharap perkembangan industri serta kerjasama dengan pemain utama sektor swasta seperti penjagaan kesihatan, kesejahteraan, hospitaliti, pelancongan, pengangkutan dan banyak lagi.

Katanya, ia adalah langkah diambil selepas hampir dua tahun negara dan seluruh dunia dilanda wabak Covid-19.

"Ia sememangnya satu perjalanan yang mencabar bagi kita semua jadi ketika beralih ke fasa endemik, kita merangka laluan baharu untuk pertumbuhan industri yang berterusan dan mampan.

"Kita kini akan bergerak ke hadapan dengan pelan yang kukuh untuk pemulihan industri dan ia amat penting kerana penjagaan kesihatan Malaysia telah dikenal pasti sebagai pemacu ekonomi utama di bawah sektor perkhidmatan eksport.

"Sehubungan itu, kita terus mengukuhkan perkongsian awam-swasta kami yang unik yang telah menjadi faktor kejayaan yang tidak dapat dinafikan di sebalik pertumbuhan industri kami setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 3:51 PM