PERTAMBAHAN penduduk tua memberi impak kepada peningkatan perbelanjaan kerajaan.
PERTAMBAHAN penduduk tua memberi impak kepada peningkatan perbelanjaan kerajaan.

Kuala Lumpur: Jabatan Perangkaan Malaysia mengunjurkan 7.3 peratus daripada jumlah populasi negara ini akan mencapai umur 65 tahun ke atas pada tahun 2022.

Ini menunjukkan penduduk menua di Malaysia meningkat dengan kadar lebih pantas daripada jangkaan awal pada tahun 2030.

Untuk rekod, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mentakrifkan penduduk menua sebagai komuniti berusia 65 tahun ke atas.

Sesebuah negara ditakrifkan sebagai menua apabila penduduk berusia 65 tahun ke atas mencapai 7.0 peratus daripada jumlah populasi.

Pada tahun 2020, kadar kesuburan Malaysia menurun kepada 1.7 peratus berbanding 2.1 peratus pada 2010 manakala penduduk berusia 65 tahun ke atas meningkat kepada 6.8 peratus daripada 32.4 juta jumlah penduduk berbanding 5.0 peratus daripada 27.5 juta dalam tempoh sama.

Pertambahan jumlah penduduk tua juga didapati memberi impak kepada peningkatan perbelanjaan kerajaan.

Kerajaan dijangka memperuntukkan lebih banyak sumber terutama untuk program berkaitan pencen, penjagaan kesihatan, tempat tinggal, program sosial dan kemudahan berkaitan.

Selain itu, ia akan menyebabkan kekurangan guna tenaga dan mewujudkan potensi risiko ke atas jaminan pendapatan di usia tua.

Bagi menghadapi cabaran ini secara keseluruhan , kerajaan, sektor perniagaan dan masyarakat perlu membuat persediaan rapi untuk mengadaptasi segala perubahan keperluan dan struktur demografi dalam ekonomi.

Kerajaan juga bertanggungjawab untuk memastikan ekonomi menjana pendapatan mampan, memperuntukkan sumber dengan cekap dan mengagihkan pendapatan dengan berkesan.

Di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), kerajaan akan membina lebih banyak pusat jagaan warga emas serta menaik taraf bandar supaya menjadi lebih mesra warga emas pada masa hadapan.

Sistem Pendaftaran Warga Emas Nasional akan ditambah baik dan liputannya akan diperluaskan lagi.

Pada masa sama, kesedaran mengekalkan gaya hidup sihat dan aktif serta celik kewangan perlu bermula dari usia muda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2022 @ 2:38 PM