DATUK Seri Saarani Mohamad. FOTO Bernama.
DATUK Seri Saarani Mohamad. FOTO Bernama.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Bagan Datuk: Barisan Nasional ingin menamakan semula penyandang Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar sekiranya gabungan itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia nanti bagaimanapun tertakluk kepada perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Ahmad Zahid berkata, Saarani yang juga Pengerusi BN Perak dan Pengerusi Umno Perak menunjukkan kecemerlangannya sepanjang menerajui pentadbiran di Perak.

"Saya ulangi.... Kita akan mohon perkenan Tuanku (Sultan Nazrin) , memohon supaya Saarani menjadi Menteri Besar Perak semula (selepas PRU-15). Beliau antara Menteri Besar Perak yang cemerlang.

"Dahulu pada zaman Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (Setiausaha Agung BN) menjadi Menteri Besar Perak pun cemerlang juga dan BN kuat pada masa itu namun kita kecundang akibat tsunami politik," katanya sewaktu berucap Majlis Solidariti Kestabilan & Kemakmuran Negeri Perak di Kompleks UMNO Bagan Datuk, di sini, hari ini.

Minggu lalu, media melaporkan Saarani mengesahkan beliau hanya mahu kekal di kerusi DUN sekali gus enggan namanya dicalonkan bertanding kerusi Parlimen, di samping membayangkan ingin bakal kembali menjadi Menteri Besar pasca PRU-15.

Dilapor, Saarani berkata demikian susulan beliau sendiri sebelum ini dalam program bersama rakyat memberi bayangan supaya rakyat terus memilihnya untuk menjadi Menteri Besar pasca pilihan raya bagi menjayakan agenda Perak Sejahtera 2030.

Sementara dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, rakyat harus bijak menilai dalam membezakan antara Bajet 2023 yang dibentangkan pada 7 Oktober lalu yang mana ia dibuat dalam keadaan kerajaan mempunyai wang bagi melaksanakan dengan manifesto menjelang pilihan raya.

Ismail Sabri berkata, sesuatu manifesto pilihan raya boleh jadi berupa janji kosong-semata, namun Bajet yang dibentangkan pada 7 Oktober lalu dibuat dalam peruntukan wang mengenainya sudah sedia ada dan untuk itu BN perlu memenangi PRU-15 dan menjadi kerajaan bagi membolehkan Bajet 2023 yang dibentangkan lalu dapat dilaksana.

"Pembangkang keluarkan manifesto mereka yang boleh jadi janji mereka itu hanya janji kosong. Namun bajet tidak seperti manifesto kerana kita umumkan (bentang) dalam keadaan duit itu sudah sedia ada.

"Jadi kalau hendak (Bajet 2023 yang dibentangkan sebelum ini) ia dilaksanakan, BN kena menang dulu lah... Kita menang PRU-15, bulan 12 nanti ketika parlimen bersidang semula maka kita akan bentangkan kembali (Bajet)," katanya.

Untuk rekod, Bajet 2023 yang dibentangkan pada 7 Oktober lalu, adalah belanjawan terbesar pernah disediakan negara ini membabitkan peruntukan RM372.3 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 10:29 PM