Ekhwan Haque Fazlul Haque


Bera: Bajet 2023 yang akan dibentangkan semula akan ditambah baik selari dengan Manifesto Barisan Nasional (BN) yang diumumkan, semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebahagian besar yang terdapat dalam Manisfesto BN sudah dibentangkan dalam Bajet 2023 di Parlimen pada 7 Oktober lalu.

Menurutnya, terdapat beberapa perkara di dalam Manifesto BN yang menjadi tawaran baharu kepada pengundi jika gabungan terbabit diberi mandat mengetuai kerajaan dalam Pilihan Raua Umum ke-15 (PRU-15), pada 19 November ini.

"Bajet akan dibentangkan semula di Parlimen jika BN menang (PRU-15) kerana ada beberapa perkara baharu diumumkan dalam manifesto seperti pengajian tinggi percuma untuk keluarga B40.

"Apa saja pengumuman baharu dalam manifesto yang tidak dibentangkan dalam Bajet 2023 akan dibentangkan semula dengan penambahbaikan," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Kenduri Rakyat di Kampung Bohor Baru di Kuala Bera, di sini, hari ini.

Majlis berkenaan dihadiri lebih 500 penduduk Kampung Bohor Baru yang berkesempatan beramah mesra bersama Ismail Sabri.

Dalam kempen yang memasuki hari keempat, Ismail Sabri menyantuni penduduk di tujuh kampung dan taman perumahan termasuk bersama komuniti Orang Asli.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menyangkal dakwaan M40 dipinggirkan dalam manifesto BN berkenaan kerana pelbagai inisiatif diperkenalkan untuk membantu golongan itu.

Katanya, pengurangan cukai pendapatan sehingga dua peratus selain e-dompet bernilai RM100 antara inisiatif diperkenalkan kerajaan BN kepada golongan itu.

"Inisiatif untuk M40 tetap diberi perhatian walaupun tidak disebut secara khusus. Manifesto dengan lima teras utama membabitkan 99 inisiatif itu akan membawa manfaat besar kepada Keluarga Malaysia," katanya.

Perdana Menteri yang juga calon Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap ketika Program Kenduri Kampung di Kampung Bohor Baru sempena Pilihanraya Umum ke-15. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Perdana Menteri yang juga calon Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap ketika Program Kenduri Kampung di Kampung Bohor Baru sempena Pilihanraya Umum ke-15. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Semalam, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Perancangan Amal dan Usaha BN untuk Malaysia yang tercinta (PADU) sebagai tawaran untuk rakyat Malaysia bagi PRU-15.

Di dalam PADU ini, terdapat 99 Amal dan Usaha BN yang akan menjadi panduan dalam mengemudi tanah air menjadi negara berkemajuan.

PADU adalah pelan yang serius dan rasional selain mempunyai sasaran jelas termasuk pelan yang akan diusahakan BN sebaiknya demi kemaslahatan semua.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 3:13 PM