BEKAS ADUN Rim, Allahyarham Datuk Ramlah Abas. FOTO AMIR MAMAT
BEKAS ADUN Rim, Allahyarham Datuk Ramlah Abas. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


Jasin: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Melaka, Datuk Ramlah Abas meninggal dunia di Hospital Melaka akibat komplikasi buah pinggang.

Allahyarham yang berusia 79 tahun, meninggal dunia kira-kira jam 10 pagi selepas beberapa tahun mengidap penyakit berkenaan.

Ketua Wanita UMNO Melaka, Datuk Wira Latipah Omar, berkata jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kediamannya di Merlimau, di sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tedong, jam 5 petang ini.

Allahyarham Ramlah, bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Jasin memenangi kerusi DUN Rim mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) pada 1999.

Susulan perkhidmatan yang cemerlang, beliau dipilih sekali lagi sebagai calon untuk mempertahankan kerusi DUN berkenaan pada PRU 2004 dan menang dengan majoriti besar.

Beliau memperoleh majoriti 3,950 selepas mendapat 5,405 undi berbanding calon PAS, Mohd Aris Omar yang mendapat 1,455 undi.

Sepanjang berkhidmat sebagai ADUN, beliau turut dilantik oleh Ketua Menteri ketika itu, Tun Mohd Ali Mohd Rustam sebagai EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri.

Selepas tamat tempoh perkhidmatan sebagai wakil rakyat, Allahyarham bergiat aktif dalam beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan wanita, termasuk terbabit dalam aktiviti menerusi Biro Wanita Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 4:36 PM