BEKAS Ahli Parlimen Jasin, Mohd Said meninggal dunia, malam tadi.
BEKAS Ahli Parlimen Jasin, Mohd Said meninggal dunia, malam tadi.
Amir Mamat


Melaka: Bekas Ahli Parlimen Jasin, Datuk Mohd Said Yusof meninggal dunia di Hospital Melaka, malam tadi, akibat beberapa komplikasi penyakit.

Mohd Said, 70, yang juga bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Jasin menghembuskan nafas terakhir ketika mendapat rawatan di hospital berkenaan, 8.10 malam.

Anak kedua Allahyarham, Nur Adawiah berkata, jenazah bapanya akan diuruskan di kediamannya di Padang Temu di sini, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Temu, 10 pagi ini.

"Allahyarham mengalami beberapa penyakit seperti jantung dan kencing manis.

"Sejak beberapa hari lalu, kesihatannya agak merosot dan terpaksa dikejarkan ke hospital selepas keadaannya semakin lemah tengah hari semalam, sebelum disahkan meninggal dunia oleh doktor pakar kira-kira 8.10 malam," katanya.

Allahyarham meninggalkan balu, Datin Rozana Shamsudin, tiga cahaya mata dan enam cucu.

Allahyarham dipilih sebagai Ahli Parlimen Jasin pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 apabila menang besar menewaskan calon Pas, Jasme Tompang dengan majoriti 21,334 undi.

Beliau memperoleh 31,198 undi berbanding pencabarnya yang mendapat 9,864 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2023 @ 10:06 AM