TANGKAP layar video tular
TANGKAP layar video tular
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Perselisihan faham kerana tidak berpuas hati dengan cara pemanduan masing-masing menyebabkan berlaku pertengkaran sekumpulan individu di tepi Jalan Usahawan Setapak, di sini, hingga tular di media sosial, hari ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, polis mengesan satu video tular berdurasi 41 saat pada 10.55 pagi ini yang dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter @ NanManjoi8715.

Menurutnya, hasil semakan pihak polis, kejadian didapati berlaku di Jalan Usahawan 6, Setapak, di sini, kelmarin.

"Pihak Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju sudah menerima laporan polis yang dibuat oleh kedua-dua belah pihak pada hari kejadian.

"Kejadian ini berpunca akibat perselisihan faham kerana tidak berpuas hati dengan cara pemanduan masing-masing," katanya.

Beliau berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan (Gaduh gempar) yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, kes masih dalam siasatan pihak polis.

"Polis menasihati orang ramai supaya sentiasa mengawal emosi serta bersabar jika berlaku perselisihan faham di jalan raya untuk mengelakkan berlakunya perkara yang menyalahi undang-undang.

"Orang awam yang mempunyai maklumat dalam kejadian ini boleh menyalurkannya ke IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana Balai Polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2022 @ 5:53 PM