TANGKAP layar video pergaduhan di sebuah restoran di Jalan Genting Klang. FOTO Twitter NanManjoi8715
TANGKAP layar video pergaduhan di sebuah restoran di Jalan Genting Klang. FOTO Twitter NanManjoi8715
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Polis sedang mengesan pihak yang terbabit dalam pergaduhan di sebuah restoran di Jalan Genting Klang, Setapak, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan D Saralathan berkata, pihaknya menerima satu laporan polis daripada orang awam yang berada di tempat kejadian berhubung insiden itu.

Beliau berkata, video berdurasi tujuh saat dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter NanManjoi8715 yang memaparkan pergaduhan itu turut tular hari ini.

"Sehubungan itu, satu siasatan dijalankan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan (KK).

"Siasatan dan usaha untuk mengesan pihak yang terbabit masih dijalankan.

"Orang ramai dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi serta menularkan video itu kerana ia boleh mendatangkan kegusaran awam," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 9:44 PM