FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kerja pengorekan oleh pihak ketiga dikenal pasti punca berlakunya gangguan bekalan elektrik di Setapak, di sini, petang tadi.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam kenyataan berkata, gangguan jam 3 petang itu membabitkan 5,000 pengguna di sekitar Setapak, Wangsa Maju, Keramat, Jalan Tun Razak dan Jalan Kia Peng.

Menurutnya, gangguan turut dilaporkan berlaku di bangunan Kementerian Pertahanan, Wisma Bernama, Menara Naza dan Menara Felda.

"Siasatan mendapati gangguan berpunca daripada kerosakan kabel di Jalan Usahawan, Setapak, akibat kerja pengorekan oleh pihak ketiga.

"TNB sudah memulihkan bekalan secara berperingkat dan bekalan pulih sepenuhnya pada 3.56 petang. Kerja membaiki kabel rosak sedang giat dijalankan," katanya.

TNB menyeru pihak yang menjalankan kerja pengorekan merujuk terlebih dahulu kepada TNB bagi mendapatkan maklumat pemetaan dan khidmat nasihat bagi mengurangkan kebarangkalian berlaku kejadian sedemikian.

Untuk rekod, sebanyak 443 gangguan bekalan berlaku akibat kerja pengorekan sejak Januari sehingga September tahun ini manakala 689 kes dilaporkan sepanjang tahun lalu, yang menjejaskan 530,000 pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2020 @ 8:52 PM