LELAKI ditemukan maut terjun bangunan. FOTO Ihsan Polis
LELAKI ditemukan maut terjun bangunan. FOTO Ihsan Polis
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Seorang lelaki ditemukan maut dipercayai terjun dari sebuah bangunan di Setapak Indah Jaya, Setapak, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang lelaki memaklumkan kejadian itu pada 6.21 petang.

"Bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju menjalankan siasatan di tempat kejadian.

"Hasil penemuan di tempat kejadian mendapati mayat dalam keadaan terbaring dengan berpakaian lengkap dan disyaki terjun dari tingkat 14 bangunan itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Daerah Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Kuala Lumpur 03-21159999 atau mana-mana Balai Polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2022 @ 9:58 PM