Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (tengah) bersama Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sutekno Ahmad Belon dan Pengarah Pencegahan Agensi Antidadah Kebangsaan Kementerian Dalam Negeri, Zainudin Abdullah bergambar bersama penerima anugerah pada program AADK Bersama Masyarakat di perkarangan IWK Eco Park Pantail Dalam. FOTO ASWADI ALIAS.
Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (tengah) bersama Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sutekno Ahmad Belon dan Pengarah Pencegahan Agensi Antidadah Kebangsaan Kementerian Dalam Negeri, Zainudin Abdullah bergambar bersama penerima anugerah pada program AADK Bersama Masyarakat di perkarangan IWK Eco Park Pantail Dalam. FOTO ASWADI ALIAS.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mengenal pasti 155 kawasan berisiko tinggi (KBT) penagih dadah yang disasarkan untuk ditukar kepada kawasan berisiko rendah secara berperingkat.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, AADK menyasarkan untuk menurunkan risiko dan mengekalkannya di bawah kategori risiko rendah penagihan dadah di semua kawasan itu menjelang akhir 2025.

"Sehingga Ogos lalu, AADK sudah mencapai sasaran 73 KBT atau 47 peratus yang berjaya diturunkan risikonya ke tahap rendah.

"Sasaran KDN (Kementerian Dalam Negeri) pada akhir tahun ini adalah 78 daripada 155 KBT akan berada di tahap risiko rendah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Hari AADK Bersama Masyarakat 2023 di Pusat Komuniti Pantai Eco Park, Pantai Dalam, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah AADK Sutekno Ahmad Belon dan Pengarah Pencegahan AADK Zainudin Abdullah.

Shamsul berkata, semua KBT yang berjaya diturunkan tahap risiko iaitu Kawasan Bebas Dadah (KBD) akan diserah pemilihakkan kepada masyarakat setempat untuk menjaga dan mengekalkan status berkenaan.

"Sehingga hari ini, sebanyak 16 kawasan yang berjaya ditukar daripada status KBT ke KBD pada 2021 akan diserah pemilihakkan kepada masyarakat setempat.

"Penyerahan ini adalah satu bentuk pemerkasaan komuniti kepada masyarakat setempat untuk terus menjaga kawasan ini daripada ancaman penyalahgunaan dadah dan pelencongan sosial," katanya.

Menurutnya, berdasarkan kajian prevalen penagihan dadah dalam kalangan belia di Malaysia dijalankan oleh KDN bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun lalu mendapati setiap 100 belia, enam daripadanya mengaku pernah mengambil dadah sepanjang hayatnya, manakala empat orang mengaku masih aktif mengambil dadah.

"Kegusaran dapatan ini mendorong AADK untuk mempergiatkan usaha memberikan kesedaran dan mendidik golongan remaja dan belia untuk menjauhi penagihan dadah.

"Salah satu strategi diambil AADK adalah menubuhkan SKUAD Antidadah yang terbuka kepada golongan belia di negara ini," katanya yang memaklumkan keahlian skuad berkenaan sudah mencecah 100,000 orang.

Beliau berkata, pihaknya akan melancarkan kempen ke arah Satu Juta Ahli SKUAD Antidadah untuk menggiatkan pelbagai program dan aktiviti gaya hidup sihat di 176 daerah seluruh negara.

"Saya menyeru golongan belia di negara ini untuk menyertai SKUAD Antidadah dan bersama-sama secara sukarela.

"Ia bagi membolehkan mereka menggerakkan program dan aktiviti yang boleh menghindari diri dan rakan daripada ancaman penyalahgunaan dan penagihan dadah di kawasan masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2023 @ 8:48 PM