PENGANALISIS politik, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain.
PENGANALISIS politik, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain.
Amir Abd Hamid dan Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Pembubaran parlimen hari ini adalah wajar dan satu langkah terbaik ke arah mencapai kestabilan politik, mewujudkan kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Penganalisis politik, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, ia kerana ketidakstabilan politik akan melemahkan lagi ekonomi negara.

Menurutnya, ia akan memberi kesan kepada Perdana Menteri kerana akan menjejaskan usaha dan prestasinya.

"Perdana Menteri seharusnya ada ahli jemaah kabinet yang seia sekata bagi membentuk kerajaan lebih stabil dan kuat.

"Bagaimanapun, kabinet yang ada sebelum ini adalah kerajaan campuran jadi jemaah menteri tidak sehaluan kerana tiada kesatuan.

"Sulit untuk Perdana Menteri menggerakkan usaha dirancang jika kabinet tidak bersatu malah akan memberi impak jangka panjang kepada prestasi.

"Menerusi pembubaran parlimen, kerajaan yang stabil dapat dibentuk dengan PRU dan apabila politik serta ekonomi stabil, banyak impak positif salah satunya wujud keyakinan dalam kalangan pelabur," katanya ketika dihubungi.

Berhubung bantahan pihak tertentu yang enggan parlimen dibubarkan dan PRU diadakan kerana isu banjir, Mohd Izani beranggapan ia bukan masalah seandainya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperkenalkan mekanisme bagi memudahkan proses membuang undi.

"Tidak lama lagi negara akan dilanda musim tengkujuh jadi jika ditangguhkan lagi (pembubaran) dan PRU tidak diadakan maka ekonomi negara akan jadi lebih teruk.

"Itu yang kita cuba elakkan dan ada kelebihan sebenarnya jika PRU diadakan ketika banjir. Ini kerana calon dan setiap parti bertanding boleh memanfaatkan tempoh berkempen untuk turun padang membantu mangsa yang akhirnya akan menerima manfaatnya.

"Ia juga memberi peluang kepada rakyat untuk menilai cuma SPR perlu perkenalkan kaedah mengundi dalam tempoh bencana bagi memudahkan dan menggalakkan pengundi keluar membuang undi.

"Banyak perkara perlu diambil misalnya penuntut universiti yang tidak dapat pulang mengundi dan sebagainya," katanya.

Izani berkata, jika peratusan keluar mengundi rendah, akan ada implikasi lain iaitu isu legimitasi kepada kerajaan yang bakal dibentuk.

"Jika peratusan undi rendah, akan timbul persoalan tentang keabsahan kerajaan adakah kerajaan dibentuk benar-benar diwakili rakyat Malaysia," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada PRU-15.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 4:46 PM