GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
Wartawan HM


Kuala Lumpur: Kerajaan menubuhkan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) yang membabitkan usaha sama Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan institusi kewangan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pusat ini akan mula beroperasi bulan ini dan bertindak berdasarkan laporan diterima untuk menyekat akaun serta mengambil tindakan ke atas penjenayah.

"Kedua: (kerajaan akan) memperketat langkah-langkah keselamatan untuk perbankan internet oleh institusi perbankan untuk menghentikan penggunaan one-time-password (OTP) yang berasaskan SMS bagi transaksi berisiko tinggi;

"Ketiga: menyediakan sebuah platform untuk orang ramai melaporkan mana-mana akaun atau nombor yang disyaki digunakan oleh penjenayah online scam; dan Keempat: memperhebat tahap kesedaran literasi kewangan dan digital pengguna demi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan," katanya ketika membentangkan Bajet 2023 bertemakan 'Keluarga Malaysia, Makmur Bersama' di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, kerajaan akan terus memperkasa CyberSecurity Malaysia dengan peruntukan RM73 juta antaranya bagi mengukuhkan pemantauan, pengesanan dan pelaporan ancaman siber termasuk membina keupayaan sistem forensik siber.

"Bagi melindungi pengguna kredit di samping memupuk pasaran kredit pengguna yang adil dan teratur, Kerajaan komited untuk membentangkan Rang Undang-undang Kredit Pengguna pada suku kedua 2023.

"Melalui usaha ini, sebuah pihak berkuasa amalan bebas yang baharu iaitu Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna akan ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan bagi mengawal selia semua aktiviti berkaitan kredit pengguna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 6:17 PM