MUHAMMAD Al Afiq Hidayat perlu masih menjalani kimoterapi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian. FOTO Ihsan Nur Hazirah Nordin
MUHAMMAD Al Afiq Hidayat perlu masih menjalani kimoterapi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian. FOTO Ihsan Nur Hazirah Nordin
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Tumpat: Sayu hati seorang ibu apabila melihat anak kesayangan terbaring lesu dengan tiub dan wayar berselirat pada tubuh.

Namun itu sudah menjadi 'pemandangan' biasa buat Nur Hazirah Nordin, 30, sepanjang anak lelakinya Muhammad Al Afiq Hidayat, 5, menjalani rawatan akibat kanser darah.

Kanak-kanak itu terpaksa menjadikan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian sebagai rumah kedua sejak lebih dua tahun lalu.

Nur Hazirah berkata, anak bongsunya disahkan mengidap kanser darah sejak berusia setahun lapan bulan.

Katanya, keadaan kesihatan mula merosot apabila dengan tiba-tiba sebelum pemeriksaan lanjut mengesahkan saiz jantung tidak normal selain ada ketumbuhan besar pada salur darah utama.

"Sejak itu, Afiq terpaksa berulang ke HUSM hampir setiap minggu untuk menjalani kimoterapi.

"Dengan usia semuda ini, Afiq terpaksa berdepan dengan ujian kesihatan yang sangat hebat dan saya terpaksa kuat untuk memberinya semangat sepanjang prosedur kimoterapi dijalankan.

"Afiq memang ada mengadu berasa sakit, loya dan hilang selera makan setiap kali kimoterapi tapi saya tiada pilihan kerana itu saja cara untuk menyelamatkan nyawanya," katanya kepada Harian Metro.

Kisah Afiq sering dikongsi Nur Hazirah di laman sosial untuk mereka yang turut diduga ujian sama agar lebih tabah sebelum tular baru-baru ini.

Tambahnya, bukan saja diduga dengan kanser, Afiq turut diuji apabila mata kirinya disahkan buta kerana saraf mata rosak akibat dimasuki habuk sabut kelapa.

Katanya, kehidupan Afiq tidak seperti kanak-kanak lain kerana hampir separuh usianya dihabiskan di hospital.

"Kini, dia berdepan dengan masalah apabila plat kimo (chemo port) yang digunakan untuk memasukkan ubat sudah dijangkiti kuman.

"Saya dimaklumkan ia Afiq sudah tidak boleh digunakan kerana dijangkiti kuman dan perlu ditukar secepat mungkin bagi memudahkan prosedur kimoterapi dijalankan.

"Sebagai suri rumah dan pendapatan suami Abdullah Muhammad sebagai buruh besi yang tidak menentu menyukarkan kami menukar chemo port berkenaan.

"Bantuan kewangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga memberi kelegaan untuk menampung kos perjalanan ke hospital setiap minggu.

"Saya bimbang jika tidak ditukar secepat mungkin ia akan menyebabkan implikasi pada kesihatannya untuk jangka panjang.

"Saya berbesar hati jika ada pihak yang sudi membantu meringankan beban dan paling utama boleh menyelamatkan nyawa Afiq ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 4:43 PM