HASBULLAH bersama Hanif Haikal yang menghidap kanser darah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
HASBULLAH bersama Hanif Haikal yang menghidap kanser darah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Syaherah Mustafa


KETIKA kanak-kanak seusianya bebas berlari dan berkawan, Hanif Haikal Hasbullah hanya mampu melihat dari jauh seperti mengerti dirinya diuji dengan kanser darah.

Hanif Haikal berusia sembilan tahun antara penghuni paling lama di Wad 6 Utara, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian yang hampir tujuh tahun berulang-alik mendapatkan rawatan dan kimoterapi untuk merawat penyakit yang dihidapinya seawal usia dua tahun.

Anak bongsu daripada empat beradik yang tidak lekang dengan senyuman dan memiliki wajah yang comel terpaksa dihadkan aktiviti bermain kerana antibodi yang lemah selain mudah sakit dan demam kesan daripada penyakitnya itu.

Bapanya, Hasbullah Mohamad, 49, berkata, anak bongsu daripada empat adik-beradik itu terpaksa ‘menginap’ di HUSM sekali sebulan kerana menjalani kimoterapi bagi mengawal sel kansernya daripada terus merebak.

“Biasanya saya sendiri yang akan menemani Hanif jika dia dimasukkan ke wad dan akan bergilir dengan isteri, Rosmawati Che Mat, 45, yang bekerja sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Renok Baru, Gua Musang.

“Hanif anak yang sangat baik serta kuat, malah begitu peramah dengan sesiapa sahaja. Dia diuji dengan kesakitan sejak dari kecil dan mungkin keadaan ini menjadikan dia kanak-kanak yang sangat tabah.

“Ada masa dia mengeluh, bukan kerana sakitnya, tetapi dia sedih kerana tidak dapat hadir ke sekolah setiap hari seperti rakannya yang lain. Dia suka belajar, namun apakan daya, rawatannya memerlukan dia berada lama di hospital setiap bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Wad 6 Utara, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, kelmarin.

Hanif yang petah berkata-kata turut berkongsi impiannya untuk menjadi anggota bomba kerana ingin membantu dan menyelamatkan mereka yang dalam kesusahan.

Hasbullah berkata, hatinya luluh melihat keadaan anaknya setiap kali selepas kimoterapi kerana anaknya menjadi lemah dan penat.

“Dia selalu mengadu semua makanan yang dimakannya berasa tawar dan tidak sedap mungkin kesan daripada rawatan ini. Namun begitu, Hanif tidak sesekali menunjukkan rasa putus asa dan sering kali menggembirakan hati saya dan isteri dengan telatahnya.

“Anak saya sebenarnya pernah berasa sihat tanpa sebarang rawatan ketika berusia empat tahun namun itu hanya sementara apabila sel kanser darahnya kembali menyerang.

“Saya dan isteri sentiasa berdoa dan berharap semoga anak kami diberi kesembuhan dan kekuatan untuk dia kembali sihat seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 6:00 AM