Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Taktik seorang lelaki menyembunyikan dua kilogram dadah jenis syabu di bawah tempat duduk kereta dipandunya gagal apabila ditahan berhampiran simpang Taman Megah Jaya 10, di sini, Isnin lalu.

Suspek berusia 30 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis menjalankan sekatan jalan raya kira-kira 7.30 malam.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, ketika melalui sekatan jalan raya itu, suspek yang menaiki Perodua MyVi enggan berhenti ketika ditahan untuk pemeriksaan.

Menurutnya, suspek bertindak memecut laju sebelum anggota polis mengejar kenderaan itu dan berjaya menahannya.

"Pemeriksaan ke atas kenderaan dinaiki suspek menjumpai satu beg plastik di bawah tempat duduk pemandu mengandungi dua bungkusan plastik berwarna putih hijau disyaki dadah jenis syabu.

"Jumlah keseluruhan syabu adalah seberat 2,010.39 gram dianggarkan bernilai RM120,000 dan dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menurutnya, dadah yang dirampas berkenaan dipercayai mampu dibekalkan kepada lebih 15,000 penagih dan pihaknya masih menjalankan siasatan terperinci termasuk mengenal pasti dari mana bekalan diperolehi.

'Suspek direman selama tujuh hari sehingga 10 Oktober ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

JASMIN (tengah) menunjukkan dadah jenis syabu yang di rampas. FOTO Abdul Rahemang Taiming
JASMIN (tengah) menunjukkan dadah jenis syabu yang di rampas. FOTO Abdul Rahemang Taiming

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 4:11 PM