MUHD Fazli (tengah) menerima Anugerah Guru Ikon Pendidikan Digital daripada Mohd Khairuddin. FOTO Ihsan PPDKN
MUHD Fazli (tengah) menerima Anugerah Guru Ikon Pendidikan Digital daripada Mohd Khairuddin. FOTO Ihsan PPDKN
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: "Anugerah ini membakar lagi semangat saya untuk terus membantu pelajar meningkatkan lagi ilmu pengetahuan mereka.

"Saya juga meletakkan harapan yang tinggi agar anugerah ini mampu menyuntik semangat warga pendidik lain untuk terus bekerja keras dan memberikan sumbangan yang terbaik dalam melonjakkan lagi mutu pendidikan negara," kata Muhd Fazli Dollah, 41.

Guru subjek Biologi dan Sains dari Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) itu berkata demikian selepas menerima Anugerah Guru Ikon Pendidikan Digital dalam Majlis Apresiasi Pendidikan Digital Daerah Kuala Nerus, dekat sini, semalam.

Anugerah itu diberikan kepada 10 guru daerah berkenaan yang menghasilkan bahan pengajaran dan pembelajaran digital untuk membantu pelajar dan guru ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 2020.

Mengulas lanjut, Muhd Fazli berkata, idea untuk menghasilkan bahan pengajaran dan pembelajaran digital itu bermula selepas negara dilanda wabak pandemik Covid-19

"Risau pelajar tidak mendapat ilmu secukupnya terutama bagi mereka yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kebetulan saya mengajar subjek Biologi dan Sains Tingkatan Lima, jadi saya mengambil inisiatif membina bahan pengajaran dan pembelajaran menerusi Youtube.com/cikgufazliebiosensei selain berkongsi nota dalam saluran Telegram,T.me/cikgufazliebiosensei.

"Saya tidak mengharapkan sebarang balasan hanya untuk berkongsi ilmu, tapi dengan anugerah yang diterima ini saya terkejut dan berasa dihargai lebih-lebih lagi saluran saya dikunjungi ribuan pelajar," katanya yang tidak akan berhenti untuk berkongsi ilmu di saluran berkenaan.

Selain anugerah berkenaan, turut diberi penghargaan Anugerah Guru Pendidikan Digital Terbaik dan Anugerah Sekolah Model Pendidikan Digital yang dimenangi Sekolah Sukan Malaysia Terengganu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Kemunting, SMK Tengku Mizan Zainal Abidin, SMK Batu Rakit, SESMA, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Gemuroh, SK Kompleks Seberang Takir, SK Seberang Takir, SK Batu Rakit dan SK Tok Jiring.

Anugerah disempurnakan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Awi Salleh dan Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Nerus (PPDKN), Hamid Yahya.

Sementara itu, Hamid berkata, anugerah julung kali diadakan itu adalah untuk menghargai pengorbanan dan jasa guru dalam mendidik terutama ketika negara berada dalam tempoh PKP.

"Usaha murni guru dan sekolah di Kuala Nerus yang menghasilkan bahan pengajaran dan pembelajaran digital untuk membantu pelajar ketika PKP begitu dihargai dan kami mengiktiraf kemahiran serta pengetahuan mereka.

"Jadi kami mengharapkan ia bakal menjadi pemangkin kepada amalan dan pembudayaan pendigitalan dalam kalangan guru dan pengurusan sekolah serta pelajar," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin dalam ucapannya mengumumkan dana untuk anugerah digital Parlimen Kuala Nerus berjumlah RM50,000 untuk diuruskan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

"Buatlah macam mana pun dengan peruntukan itu, cuma saya mahu RM10,000 daripada RM50,000 itu disediakan untuk Anugerah Inovasi Digital sebagai hadiah wang tunai untuk menghargai usaha guru yang berinovasi digital.

"Biar lahir di Kuala Nerus ini guru yang berinovasi tinggi supaya apa yang dihasilkan benar-benar memberikan manfaat untuk rakyat Terengganu dan Malaysia amnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2022 @ 9:34 AM