GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Subang Jaya: Polis menahan dua individu termasuk seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai terbabit dengan kes rompakan di sebuah rumah kedai di Taman Saujana Puchong, Puchong, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu jam 7.39 malam daripada mangsa iaitu wanita warga Indonesia berusia 43 tahun pada hari kejadian.

"Menurut mangsa yang juga pelayan restoran, dia didatangi tiga lelaki yang memecah masuk rumahnya di lokasi kejadian jam 4 petang pada 29 September lalu.

"Suspek menendang mangsa sebelum melarikan wang tunai berjumlah RM65,000 dan barang kemas bernilai RM11,000 dari almari pakaian menyebabkan wanita itu kerugian RM76,000," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Azlan berkata, susulan maklumat diterima, pihaknya membuat tangkapan terhadap seorang wanita Indonesia dan seorang lelaki tempatan semalam.

"Kami turut merampas wang tunai berjumlah RM17,000 dan pelbagai barang kemas yang disyaki dirompak oleh suspek.

"Siasatan awal dilakukan terhadap suspek mendapati mereka mengaku terbabit dalam kes berkenaan.

"Kami masih lagi mengesan dua individu terbabit dalam kes terbabit yang masih bebas.," katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana kesalahan rompakan berkumpulan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor S Anthony John di talian 012-5043470.

"Selain itu, orang ramai juga boleh menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100 bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2022 @ 12:46 PM