Nurul Hidayah Bahaudin


Subang Jaya: Polis memburu empat penjenayah menaiki motosikal yang menyamun seorang lelaki warga emas di hadapan rumahnya di Jalan SS18, di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian itu berlaku 8.50 malam ketika mangsa berusia 70-an memberhentikan Toyota Camry di lokasi berkenaan selepas pulang dari tempat kerja.

"Empat lelaki yang menaiki dua motosikal kemudian menghampiri mangsa dengan seorang daripada mereka mengacukan parang lalu mengambil dompet lelaki warga emas berkenaan.

"Seorang lagi suspek pula merampas kunci kereta milik mangsa dan membawa lari kereta berkenaan. Lokasi kejadian ini adalah kawasan perumahan dua tingat yang tidak mempunyai pengawal keselamatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Azlan berkata, hasil siasatan mendapati tiada rakaman kamera tertutup (CCTV) di rumah mangsa (lokasi kejadian) dan rumah jirannya.

"Ketika kejadian, suspek memakai topi keledar dan berbadan kurus, namun mangsa gagal mengecam secara terperinci fizikal penjenayah berkenaan kerana keadaan gelap serta dalam keadaan panik," katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 397/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor S Anthony John di talian 012-5043470.

"Orang ramai juga boleh menghubungi Pusat Kawalan Operasi Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100 bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2022 @ 9:50 AM