Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Polis Kelantan menahan lima lelaki termasuk seorang warga Thailand kerana memiliki selaras senapang patah menerusi serbuan Ops Tapis di sebuah bangsal di ladang sawit Felda Chiku 2, Gua Musang, semalam.

Menerusi serbuan jam 1.30 pagi itu, polis turut merampas plastik beg hitam yang mengandungi bahagian kepala dan daging dipercayai kijang tanpa lesen.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata senapang patah itu ditemui di tepi bangsal di bawah pokok kelapa sawit dan turut ditemui 14 butir peluru hidup jenis bore 12.

"Kesemua mereka yang ditahan berusia 22 hingga 39 tahun dan kesemua mereka positif methamphetamine.

"Tiga daripada mereka juga mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah. Siasatan lanjut masih dijalankan berhubung tujuan pemilikan senjata api itu.

"Kita juga akan siasat sama ada mereka terbabit dengan aktiviti pemburuan haram dan kesemua mereka ditahan reman selama enam hari sehingga 3 Oktober," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 60(1)(b) Akta Perlindungan Hidupan Liar 2010.

"Orang awam dinasihatkan supaya jangan memiliki atau menyimpan senjata api tanpa kebenaran yang sah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 1:55 PM
MUHAMAD Zaki (dua kiri)  bersama pegawainya menunjukkan senapang yang dirampas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MUHAMAD Zaki (dua kiri) bersama pegawainya menunjukkan senapang yang dirampas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar