GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Zatul Iffah Zolkiply


ANGGOTA sukarelawan polis berpangkat Lans Koperal antara empat individu yang ditahan kerana memiliki selaras senapang patah yang dipercayai digunakan untuk aktiviti berburu secara haram dalam Op Laras di Batu 4 Binjai, Kemaman, kelmarin.

Selain lelaki berusia 49 tahun, tiga yang ditahan adalah warga Indonesia termasuk suami isteri, berusia antara 39 hingga 57 tahun.

Mereka ditahan dalam serbuan yang dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Balai Polis Chukai, jam 11.45 pagi.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, anggota yang tiba di rumah berkenaan terlebih dahulu memperkenalkan diri, namun tiada sebarang jawapan.

Beliau berkata, mereka kemudian masuk ke dalam rumah itu melalui pintu hadapan rumah yang tidak berkunci.

Katanya, pemeriksaan menemui empat suspek termasuk seorang wanita yang sedang berehat sebelum suspek warga Indonesia berusia 41 tahun mengaku pemilik rumah dan memaklumkan wanita berusia 39 tahun itu isterinya.

"Anggota melakukan pemeriksaan sebelum menemui satu kelongsong peluru kosong jenis 12 bore di atas almari pakaian di bahagian kanan ruang tamu dan selaras senapang patah buatan sendiri yang disembunyikan di celah almari baju di dalam bilik suami isteri berkenaan.

"Suspek mengaku senjata api itu miliknya dan menggunakannya untuk kegiatan berburu secara haram, manakala sukarelawan polis itu adalah rakan yang dikatakan selalu datang ke rumah berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini.

Roslee berkata, pemeriksaan lanjut mendapati pasport milik suspek yang mengaku pemilik rumah sudah tamat tempoh, manakala rakan senegaranya pula tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, kesemua suspek dibawa ke Balai Polis Chukai untuk siasatan lanjut.

"Mereka disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki senjata api tanpa lesen dan senjata api tiruan serta Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana dokumen perjalanan tamat tempoh dan tiada sebarang dokumen perjalanan yang sah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 8:44 AM