SENJATA API termasuk senapang buatan sendiri yang dirampas polis.
SENJATA API termasuk senapang buatan sendiri yang dirampas polis.
Oleh Muhammad Apendy Issahak


Seri Iskandar: Polis menahan dua lelaki dan merampas tiga senjata api termasuk senapang buatan sendiri serta senapang angin dalam satu serbuan di sebuah ladang kelapa sawit di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, turut dirampas dalam serbuan kira-kira jam 5 pagi itu adalah 101 peluru hidup pelbagai jenama.

Menurutnya, kedua-dua lelaki berkenaan yang berusia 26 dan 44 tahun itu, ditahan ketika serbuan dilakukan terhadap sebuah pondok dalam Ladang Sawit Koperasi Pembangunan Sungai Tumbuh, di sini dan pemeriksaan menemui senjata api serta peluru terbabit.

"Senjata api yang dirampas adalah selaras senapang patah jenama Spl Forces model Harrington & Richardson inc Worcester buatan USA, selaras senapang buatan sendiri barel 12 bore dan selaras senapang angin bersama scoop armpoint jenama Bushnell 3-9×40EG.

"Polis turut merampas sebanyak 101 butir peluru hidup 12 bore pelbagai jenama, satu tali pinggang peluru, satu beg jenama Santa Barbara Polo & Racquet Club dan dua buah telefon bimbit," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamad Fakri berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti pemilik senapang patah Winchester seandainya ada pemilik yg sah, selain menghantar senjatapi dan peluru kepada pihak forensik dan Jabatan Kimia untuk ujian balistik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2015 @ 1:10 PM