LAPORAN Harian Metro hari ini
LAPORAN Harian Metro hari ini
Asrol Awang


Kuantan: Polis mengesahkan identiti buruh binaan warga Myanmar yang maut dan dua yang cedera akibat runtuhan konkrit longkang kawasan tapak pembinaan perumahan di Indera Mahkota 15, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dalam kejadian 4.05 petang itu, mangsa, Mohd Enus Karim Ullah, 29 meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, dua mangsa yang cedera pula ialah Ellyas Rohsit Ullah, 31 dan Mohammad Soyat Abulhasim, 44 masing-masing warga Myanmar dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

"Berdasarkan siasatan, kejadian itu berlaku berhampiran sekolah memandu apabila konkrit simen setinggi kira-kira 2.4 meter runtuh.

"Runtuhan itu menyebabkan tiga buruh warga Myanmar itu dihempap dinding konkrit ketika sedang menjalankan kerja membuat longkang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, seramai 10 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota dan BBP Kuantan bergegas untuk operasi menyelamat.

"Setibanya di tempat kejadian, seorang buruh binaan didapati dihempap dinding konkrit ketika melakukan kerja dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Berikutan itu sebuah jentolak digunakan untuk operasi mengeluarkan mangsa yang maut," katanya.

tamat

Berita berkaitan:

  • Buruh binaan maut, 2 cedera dihempap dinding
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 11:02 PM