BERNAMA

Temerloh: Seorang buruh binaan warga Indonesia maut dihempap dinding konkrit yang runtuh ketika sedang melakukan kerja baik pulih dapur sebuah rumah di Taman Intan, Jalan Bahagia di sini, hari ini.

Penolong Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh Hasanuddin Hassan berkata mangsa dikenali sebagai Sarifi Sarip, 59, dipercayai gagal melarikan diri ketika dinding konkrit itu tumbang 11.30 pagi tadi.

"Kejadian menyebabkan seluruh badan mangsa tersepit di bawah dinding sepanjang lima meter dengan lebar kira-kira 5.6 meter.

"Mayat mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira setengah jam kemudian. Bomba menghadapi sedikit kesukaran kerana keadaan dinding yang agak padu serta kedudukan mangsa yang terperangkap di bawah dinding," katanya di sini, hari ini.

Hasanuddin berkata, pihaknya tidak menolak kejadian berpunca akibat mendapan di bahagian kerja baik pulih dilakukan, namun siasatan lanjut masih diteruskan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di sini, untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2016 @ 10:17 PM