LAPORAN Portal Harian Metro.
LAPORAN Portal Harian Metro.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd, pemaju bagi projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) mengarahkan kerja pembinaan di lokasi kejadian konkrit yang menghempap sebuah kereta dihentikan serta-merta.

SUKE menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya sudah mengeluarkan arahan itu dan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berwajib dalam melakukan siasatan.

Menurutnya, dinding parapet dari struktur binaan lebuh raya berkenaan terjatuh dan menghempap kereta.

"Pasukan Emergency Response Team (ERT) SUKE berada di tapak kejadian untuk mengawal trafik dan mengalihkan dinding parapet serta kereta yang terbabit.

"Pemandu kereta itu cedera ringan dan sudah dibawa ke hospital untuk rawatan segera," katanya.

Katanya, segala kesulitan susulan insiden itu amat dikesali dan SUKE akan memastikan segala aspek keselamatan sentiasa diutamakan serta dipertingkatkan demi keselamatan orang ramai.

Terdahulu, Portal Harian Metro melaporkan, wanita nyaris maut apabila kereta dipandunya dihempap kepingan konkrit pembinaan lebuh raya di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS), hari ini.

Kejadian pada 4.30 petang itu tular di media sosial apabila satu video menunjukkan mangsa dibantu keluar daripada kenderaannya oleh orang ramai selepas dihempap konkrit berkenaan.

Video berdurasi 27 saat itu turut menunjukkan konkrit sebesar satu meter persegi yang menghempap bumbung kereta mangsa.

Insiden berkenaan disahkan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya.

b>Berita berkaitan

Wanita nyaris maut, konkrit lebuh raya hempap kereta

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 9:52 PM