ANGGOTA bomba dan penyelamat berusaha untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di Kuantan. FOTO Ihsan JBPM Pahang
ANGGOTA bomba dan penyelamat berusaha untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di Kuantan. FOTO Ihsan JBPM Pahang
Asrol Awang


Kuantan: Seorang buruh binaan etnik Rohingya maut akibat dihempap dinding batu bata yang runtuh ketika melakukan kerja membina longkang berhampiran sebuah sekolah memandu di Indera Mahkota 15, di sini hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kejadian itu turut menyebabkan dua lagi buruh binaan cedera.

Katanya, berdasarkan laporan yang diterima pada jam 4.09 petang itu, seramai 10 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota dan BBP Kuantan bergegas ke tempat kejadian untuk operasi menyelamat.

"Setibanya di tempat kejadian, seorang buruh binaan didapati dihempap dinding batu bata ketika melakukan kerja dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Berikutan itu sebuah jentolak digunakan untuk operasi mengeluarkan mangsa yang maut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dua buruh binaan yang juga etnik Rohingya dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan manakala mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 8:50 PM