GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Omar Ahmad


Johor Bahru : Baru dua bulan melakukan aktiviti mencuri kabel elektrik, dua lelaki ditahan selepas melakukan kegiatan itu di sebuah bangunan di Jalan Abdullah Ibrahim di sini, semalam.

Ketua Polis daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner, Raub Selamat berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian dari seorang lelaki tempatan berumur 58 tahun pada 12.22 tengahari.

Katanya penjaga bangunan itu mendakwa terdapat dua lelaki telah menceroboh dan mencuri kabel elektrik.

"Bertindak atas maklumat, anggota Unit Ronda Bermotosikal (URB) dan cawangan Kereta Peronda (MPV) IPD JBS menahan dua lelaki berumur 30 an.

"Turut dirampas pemotong besi, gergaji besi, spanar boleh laras, pemutar skru, lampu suluh dan satu karung mengandungi kabel.

"Hasil siasatan awal mendapati kedua suspek terdesak untuk mendapatkan duit. Hasil curian kabel elektrik akan dijual ke kedai barangan lusuh," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Raub, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua suspek positif dadah Methaphetamin.

"Manakala hasil pemeriksaan rekod lampau mendapati salah seorang suspek mempunyai satu kes dadah dan tiga kes jenayah.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi terus talian hotline IPD JBS 07-2182323 atau Pegawai Penyiasat Sin Chen Chin Wan @ Wan Shazwani Abdullah ditalian 012-3805097,"katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 488 kanun keseksaan, Seksyen 379 kanun keseksaan dan Seksyen 28 (1) (ll) Akta Kesalahan Kecil 1955.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 12:17 PM