POLIS memburu seorang lelaki yang disyaki mencuri dalam bangunan dan memandu secara merbahaya sehingga merosakkan dua kenderaan lain. FOTO Tular FB
POLIS memburu seorang lelaki yang disyaki mencuri dalam bangunan dan memandu secara merbahaya sehingga merosakkan dua kenderaan lain. FOTO Tular FB
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Polis memburu seorang lelaki yang disyaki mencuri dalam sebuah pasar raya di Tebrau di sini malam tadi membabitkan barangan bernilai RM952.19

Bukan itu sahaja, lelaki warga tempatan berusia 33 tahun itu turut dilaporkan memandu Honda City secara merbahaya sehingga merosakkan beberapa kenderaan lain di parkir pasar raya terbabit ketika cuba melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya masih mengesan suspek yang dikenali sebagai Muhammad Firdaus Shamsudin dan beralamat terkini di Gemas, Negeri Sembilan.

Beliau berkata, hasil semakan suspek mempunyai tujuh rekod jenayah lampau membabitkan kes curi dalam bangunan, selain dua rekod lain kes jenayah, satu rekod lampau kes dadah dan dua rekod dikehendaki polis juga dalam kes dadah.

Terdahulu, Raub berkata, seorang wanita tempatan yang bersama-sama dengan suspek lelaki itu berjaya ditahan pihak pengurusan pasar raya.

"Kita mendapat maklumat daripada pengurus pasar raya besar itu memaklumkan pihaknya menahan suspek wanita berusia 31 tahun yang terbabit dalam kejadian curi dalam bangunan itu.

"Pengadu mendakwa kejadian berlaku pada jam 7.15 petang apabila suspek lelaki dan wanita itu membawa barangan dari dalam pasar raya keluar melalui mesin pengesan layan diri tanpa membuat sebarang pembayaran.

"Bagaimanapun, suspek lelaki itu berjaya melarikan diri menaiki sebuah kereta dan memandu secara berbahaya sehingga melanggar sebuah motosikal dan sebuah kereta di parkir itu ketika cuba ditahan orang awam," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut beliau, polis turut merampas pelbagai jenis coklat, ubat gastrik, 'seat hook' dan pemegang telefon bimbit yang keseluruhannya bernilai RM952.19.

Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing ke atas suspek wanita mendapati dia positif methamphetamine serta mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kesalahan dadah.

"Suspek wanita kini direman empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

"Kes ini juga disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Pada masa sama, Raub meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu untuk menghubungi terus talian hotline Polis Daerah JBS di 07-2182323 atau Pegawai Penyiasat, Sarjan Nuraziera Miersha Jamaludin di talian 017-3498690 bagi menbantu siasatan.

#kw curi, suspek, lari, pasar raya, Tebrau, polis, Johor Bahru

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2022 @ 3:37 PM