GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Pembentukan garis badai yang boleh mengakibatkan ribut petir bersama hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di negeri utara Semenanjung termasuk Kelantan dan Terengganu.

Ramalan keadaan itu akan berlaku bermula 28 hingga 30 September ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata, data itu diperoleh berdasarkan analisis Model Ramalan dan Penyelidikan Cuaca Met Malaysia (MET-WRF), Pusat Ramalan Cuaca Kadar Sederhana Eropah (ECMWF) dan Sistem Ramalan Global (GFS).

Menurutnya, tiupan angin barat di rantau negara dijangka meningkat disebabkan Taufan Noru yang ketika ini berada di utara Filipina.

"Taufan Noru kemudian dijangka bergerak ke barat menuju Vietnam dan membentuk garis badai.

"Keadaan itu boleh mengakibatkan ribut petir bersama hujan lebat dan angin kencang di negeri utara Semenanjung termasuk Kelantan dan Terengganu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan platform media sosial MetMalaysia selain memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat terkini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2022 @ 5:28 PM