DR Noor Aishah Rosli.
DR Noor Aishah Rosli.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Selain hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadap pendera kanak-kanak, pelaku juga perlu diberi bimbingan dan diajar ilmu keibubapaan menerusi kelas yang khusus bagi membentuk sahsiah diri mereka dari segi psikologi.

Perunding Psikologi Klinikal Dr Noor Aishah Rosli berkata, hukuman penjara dan denda sahaja tidak mencukupi kerana pelaku iaitu penjaga kanak-kanak ini harus menjalani sesi kaunseling termasuk kelas khas untuk memastikan mereka tidak mengulangi perbuatan kejam itu.

Menurutnya, sudah tiba masanya kerajaan memainkan peranan dengan mewujudkan pusat yang menekankan ilmu keibubapaan di setiap negeri seluruh Malaysia.

"Alangkah baiknya jika kita ada satu sistem melalui pusat yang menyediakan kelas keibubapaan kepada ibu bapa atau penjaga di mana yang dapat mengajar dan mendidik mereka menjadi ibu bapa yang baik, mengawal emosi serta mengajar ilmu dari sudut ekonomi dan sosial.

"Ilmu keibubapaan ini amat penting sebab dengan hanya hadir kursus perkahwinan (selama lima hari) kita menganggap itu sudah mencukupi, malah apabila kita berkahwin dan mengandung bukan secara automatik kita terus pandai menjaga anak.

"Sebenarnya, semua perlu ada ilmu keibubapaan kerana anak yang berusia lima tahun ke bawah ada cara penjagaan khusus, anak yang berusia 6 hingga 10 tahun juga berbeza, sama juga bagi anak-anak berusia 13 ke 15 tahun dan 16 ke 18 tahun cara mendidiknya lain," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, lebih kasihan kanak-kanak mangsa dera penjaga ini sama ada oleh ibu bapa kandung, pak cik, mak cik dan keluarga angkat, ia memberi kesan psikologi terhadap mereka sehingga meningkat dewasa.

Dr Noor Aishah berkata, kesan penderaan menyebabkan kanak-kanak mendapat tekanan mental, tidak tenang, merasai masalah keresahan (anxiety), rasa risau, takut dan gelisah, malah beliau pernah menerima kes kanak-kanak mangsa dera yang sekarang sudah berumur 16 tahun menghadapi halusinasi (mendengar bunyi orang menjerit namanya) dan menghidapi PTSD atau Post-traumatic stress disorder atau kondisi mental di mana mereka mengalami serangan panik yang dipicu oleh trauma pengalaman masa lalu disebabkan selalu dipukul dan dimaki.

"Mereka ini juga (kanak-kanak mangsa dera) akan menjadi keras hati dan sukar untuk menunjukkan rasa empati sebab dia dibesarkan dengan suasana yang kasar dan kanak-kanak ini akan membesar menjadi seorang yang cepat marah dan suka memukul kerana secara psikologinya apa yang dilihat oleh kanak-kanak dan pengalaman yang mereka alami itulah personaliti yang akan dibawa sehingga besar dalam keadaan seperti yang dilakukan terhadap mereka.

"Kanak-kanak ini membesar dengan kehilangan keyakinan diri yang tinggi serta akan ada rasa cemburu atau dendam terhadap orang lain terutama yang mempunyai keluarga sempurna pada mata mereka. Lebih banyak benda negatif dan trauma akan dialami oleh mangsa dera ini.

"Hakikatnya, untuk menjaga kanak-kanak ini bukan mudah, kita tidak tahu bagaimana tingkah laku kanak-kanak (setiap anak berbeza), malah keluarga yang menjaga akan mengalami tekanan dari segi kewangan, saya percaya dalam dua tiga kes yang berlaku kebelakangan ini adalah daripada golongan biasa-biasa atau golongan B40 yang berkemungkinan menghadapi masalah kewangan.

"Masalah kewangan juga menjadi salah satu punca terjadi penderaan, oleh itu anak buah atau anak kandung sendiri yang ditinggalkan ini apabila tak cukup belanja jadi penjaga cepat berasa marah dan melepaskan geram kepada kanak-kanak yang lemah dan tak boleh melawan.

"Pada saya, jiran dan guru juga perlu memainkan peranan masing-masing, sekiranya mereka melihat kanak-kanak ini ada tanda-tanda menjadi mangsa dera, cuba bertanya khabar.

"Sekarang sudah tiada istilah 'busy body', kita kena masuk campur dan bertindak kalau kita dah cuba tegur tetapi tiada perubahan, kita boleh buat laporan polis," katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan terdapat dua kes berturut-turut penderaan kanak-kanak yang berlaku di Ampang, Kuala Lumpur dan Kota Bahru, Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 4:41 PM