Aslina Abu Bakar


Kuala Lumpur: Depresi, gangguan mental mahupun tekanan kerap dihadapi golongan remaja atau dewasa, namun ramai tidak sedar masalah.

itu sebenarnya boleh dialami bayi, seawal usia tujuh bulan.

Biarpun tiada statistik bayi di diagnosis gejala itu di negara ini seperti negara lain, namun kesedaran itu masih perlu diberikan bagi mengelak ia berlaku.

Ini kerana jika ia lewat dirawat, ia boleh memberi kesan besar kepada sikap serta tingkah laku anak apabila mereka membesar kelak.

Dalam membesarkan anak, pelbagai kesilapan berlaku tanpa disedari, sama ada kesibukan bekerja, kurangnya perhatian mahupun ilmu mengenai aspek keibubapaan.

Seperti dipaparkan hampir setiap hari di media ada saja kes membabitkan pergaduhan ibu bapa, penderaan mental dan seksual serta pengabaian kanak-kanak.

Seorang ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Liza berkata, dia tidak menyangka pergaduhan kerap bersama bekas suami sejak di awal kehamilan menyumbang kepada pembentukan sikap anaknya yang berubah dan sukar diramal.

"Saya tak sangka anak yang baru berusia 10 bulan boleh mengalami masalah depresi, saya perasan anak cepat sensitif dan nampak takut-takut, kalau bunyi kuat pun dia menjerit dan menangis.

"Sejak emosinya terganggu, anak mula pilih orang, sentiasa mahu bersama hingga saya pernah ambil cuti seminggu sebab dia nampak takut dengan orang," katanya.

Katanya, dia yang bimbang keadaan itu semakin serius, kemudiannya membawa anaknya berjumpa pakar psikologi untuk mendapat bantuan lanjut.

"Saya bersyukur dapat berjumpa doktor dan beliau membantu saya memahami keadaan anak, malah beliau juga membuat penilaian psikologi melalui pemantauan perubahan emosi bermula daripada kelahiran hingga kini," katanya.

Anak serap bunyi negatif sejak dalam kandungan

Kebanyakan bayi yang mengalami masalah depresi membesar dalam situasi perceraian ibu bapa, kerap melihat pergaduhan, kes penderaan di taska, serta bayi diabaikan dan tidak mendapat perhatian ibu bapa.

Pakar psikologi kanak-kanak, Dr Noor Aishah Rosli berkata, seramai 40 bayi disahkan menghadapi masalah depresi dirujuk kepadanya sejak 2014.

"Ramai orang pandang rendah pada bayi, bila kita bergaduh, bercakap benda tak elok, alah dia tak faham.. kita selalu pandang rendah pada mereka, itu salah. Dia sebenarnya boleh faham dengan cara dia sebagai bayi.

"Jika kekerasan di dalam rumah kerap berlaku, contohnya pergaduhan suami isteri daripada anak dalam kandungan lagi dia dah boleh dengar sebenarnya keadaan bunyi bising dan sebagainya.

"Bunyi negatif itu diserap oleh anak, dan boleh memberi depresi kepada mereka. Oleh itu, ibu bapa perlu mengubah corak kekeluargaan dan interaksi dalam rumah tangga untuk mengelak masalah itu berlaku kepada anak," katanya.

Menurutnya, bukan setakat faktor persekitaran tidak sihat bahkan pengambilan ubat ketika ibu mengandung akibat depresi juga boleh menyumbang kepada masalah berkenaan.

Untuk rekod, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan kes membabitkan kanak-kanak yang perlu diberi perlindungan.

Kes bayi seawal dilahirkan hingga empat tahun paling tinggi diabaikan ibu bapa dan penjaga, diikuti dicederakan dan dianiaya secara fizikal, seksual dan emosi.

Malangnya lebih 200 kes kecederaan dialami kanak-kanak dari segi fizikal, emosi dan seksual tidak dilindungi ibu bapa dan penjaga.

Sekalipun data ditunjukkan mungkin dianggap kes terpencil ia membuktikan pengabaian anak sejak bayi tidak terkecuali berlaku di negara ini mengalami tekanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 10:13 AM
Bayi 7 bulan boleh depresi.
Bayi 7 bulan boleh depresi.