KERATAN akhbar yang menunjukkan kes penderaan di Malaysia.
KERATAN akhbar yang menunjukkan kes penderaan di Malaysia.
MANGSA dera Yaya menunjukkan perkembangan positif selepas menjalani rawatan.
MANGSA dera Yaya menunjukkan perkembangan positif selepas menjalani rawatan.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Hasil kajian daripada Universiti South Wales, United Kingdom pada 2009 di bawah Fakulti Sains Sosial menunjukkan tiga daripada 10 mangsa penderaan mampu menjalani kehidupan harian seperti biasa.

Empat daripada mereka memerlukan sokongan untuk terus hidup manakala tiga lagi tidak dapat menjalani kehidupan kerana mengalami tahap trauma yang sangat teruk.

Menurut John Piaget, penderaan didefinisikan sebagai sentuhan antara pemangsa dan mangsa dalam keadaan terpaksa. Kanak-kanak dalam konteks ini didefinisikan sebagai golongan yang berumur setahun sehingga 14 tahun dan kumpulan peralihan dari peringkat mengenali iaitu sensorimotor ke peringkat operasional yang lebih kompleks.

Sehingga hari ini, isu penderaan tidak pernah sunyi dan mendapat liputan meluas di media. Malah, ia meningkat saban tahun kerana ada saja kes penderaan kanak-kanak yang dilaporkan setiap minggu.

Ia bukan setakat penderaan membabitkan fizikal, tetapi memperlihatkan penderaan emosi sehingga mangsa berada dalam keadaan trauma yang berpanjangan. Kes remaja orang kurang upaya (OKU) Muhammad Firdaus Dullah, 15, yang dijumpai dalam keadaan terabai di Flat Taman Semarak, Nilai, menyentuh hati rakyat Malaysia. Walaupun disahkan dia tidak didera secara fizikal, penderaan dari segi emosi menyebabkan mangsa berada dalam trauma yang teruk.

Begitu juga kes penderaan kanak-kanak berusia lima tahun, Nur Zuliana Sara atau lebih dikenali sebagai Yaya disahkan mengalami kecacatan kekal akibat kecederaan parah pada bahagian tulang rusuk dan tulang belakang akibat didera ibu tiri.

Dia juga menjalani pembedahan usus kerana mengalami masalah usus kecil berpintal dipercayai akibat dipukul dengan kuat. Akibat penderaan fizikal dan mental yang dialami, Yaya mengalami trauma dan hilang keyakinan untuk bercakap dengan orang lain.

Menurut Pensyarah Jabatan Pendidikan Psikologi dan Kaunseling, Kuliyyah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Dr Mastura Badzis menyifatkan orang yang mendera mengalami masalah jiwa kerana mereka tidak dapat mengawal emosi dan perasaan marah sehingga sanggup melakukan penderaan ke atas kanak-kanak.

“Golongan ini dianggap mengalami gangguan kesihatan jiwa yang mendorong untuk melakukan perkara yang sepatutnya tidak dilakukan. Apa yang berlaku, apabila sampai kepada keadaan sedang marah mereka tidak mampu mengawal emosi dan terus bertindak mengikut kata hati.

“Jika ketika itu mereka sedang memukul, si pendera akan memukul bertalu-talu dan melakukan apa saja yang mampu memuaskan hati mereka. Keadaan ini berbeza bagi mereka yang rasional kerana masih boleh berfikir mengenai apa yang sedang berlaku di hadapan mereka. Fikiran mereka masih waras dan tidak bertindak kejam sewenang-wenangnya ke atas kanak-kanak,” katanya.

Selain itu, penderaan juga berlaku disebabkan faktor luaran seperti tekanan di tempat kerja sehinggakan ibu atau bapa tidak lagi mampu menguruskan tekanan mereka sehingga melepaskannya kepada si kecil yang tidak berdosa.

Sifat semula jadi kanak-kanak terutama yang masih kecil suka merengek, menangis dan memberontak. Semua ini memerlukan perhatian daripada ibu bapa namun ibu bapa tidak faham dan berasa anak-anak ini perlu dihukum.

Berdasarkan pemerhatian, kebanyakan kes penderaan berlaku disebabkan kurang kefahaman mengenai ciri semula jadi perkembangan awal kanak-kanak. Ibu muda ini langsung tidak mendapatkan ilmu mengenai perubahan dan perkembangan anak-anak. Mereka mengambil mudah dan merasakan anak-anak tidak sepatutnya berkelakuan begitu.

“Misalnya kanak-kanak yang berusia di bawah tiga tahun tentu gemar menangis apabila kemahuan tidak dituruti, tetapi apa yang berlaku ibu bapa tidak faham dan meminta anak ini diam. Dalam keadaan tertekan dan tidak mampu mengawal keadaan ditambah masalah yang membelenggu diri mereka, menyebabkan secara tidak sedar mereka memukul, merotan, menghantukkan kepala anak ke dinding dan mencucuh puntung rokok.

“Ibu bapa terlupa kanak-kanan memang begitu sifatnya. Apabila dia tidak selesa atau terganggu, menangis menjadi cara untuk memberitahu kepada ibu bapa. Begitu juga apabila anak menjerit atau memberontak, ada cara meredakan keadaan mereka.

“Bukan dengan cara melepaskan kemarahan kepada anak. Apabila ibu bapa atau pengasuh tidak memahami perkara ini, justeru berlaku penderaan fizikal kepada kanak-kanak,” katanya.

Masalah kewangan dalam keluarga juga menyebabkan ibu bapa bertindak ganas terhadap anak. Pada zaman teknologi serba mencabar ini, membesarkan anak memerlukan sumber kewangan yang kukuh.

Apabila ibu bapa berhadapan keadaan ekonomi yang meruncing dengan harga barangan semakin meningkat sedangkan pendapatan berada di takuk lama, ia antara punca pergaduhan suami isteri. Lebih malang anak-anak dijadikan mangsa keadaan.

Jelas Mastura, orang yang biasa didera juga mempunyai kebarangkalian menjadi pendera suatu hari nanti. Ini kerana di dalam jiwa mereka masih tersimpan perasaan dendam dan merasakan orang lain perlu merasai apa yang pernah mereka alami. Dalam sejarah kehidupan si pendera, tiada contoh ikutan yang menunjukkan kasih sayang dan melihat cara jalinan hubungan yang baik sebagai penyelesaiannya.

Mereka juga kurang pendidikan agama menjalani kehidupan tanpa berlandaskan al-Quran dan al-Sunah. Islam menerapkan sikap baik yang perlu dicontohi setiap umatnya seperti tahap kesabaran yang tinggi terutama dalam melayan kerenah anak-anak. Al-Quran juga menjelaskan mengenai azab yang pedih bagi sesiapa yang tidak menjaga amanah Allah iaitu anak-anak.

Kesan ke atas kanak-kanak

Penderaan ke atas kanak-kanak meninggalkan kesan yang sangat besar bukan saja ke atas fizikal mereka sebaliknya kesan yang paling teruk ke atas emosi dan jiwa kanak-kanak itu sendiri. Berdasarkan kajian perkembangan, apa saja pengalaman dilalui kanak-kanak pada usia enam tahun ke bawah akan kekal dalam minda mereka.

Walaupun penderaan fizikal kelihatan amat menakutkan kerana mampu meninggalkan kecederaan dan parut kekal ke atas tubuh kanak-kanak, kesan ke atas emosi paling teruk kerana mampu meninggalkan kesan negatif dan membabitkan perubahan emosi yang drastik.

Mainan emosi ini memungkinkan kanak-kanak mangsa dera menjadi individu yang nakal, keras hati, susah untuk memberikan kerjasama, panas baran, tiada keyakinan diri, pemarah dan mereka akan melakukan apa saja bagi memuaskan hati sendiri.

“Sebab itu kanak-kanak yang menjadi mangsa dera akan berada dalam ketakutan. Apabila masyarakat menyingkirkan mereka disebabkan perwatakan yang ditonjolkan ini, mereka menjadi lebih ganas sehingga bertindak lebih teruk dengan menjadi pembuli di sekolah,” katanya.

Namun bukan semua mangsa dera akan bersikap sedemikian. Ia bergantung kepada cara mereka dipulihkan serta persekitaran ketika itu.

Jelas Mastura, sekiranya kanak-kanak ini dibesarkan dalam lingkungan yang dipenuhi kasih sayang serta mendapat contoh ikutan sepatutnya, mereka mampu menjadi seorang yang bertanggungjawab dan berjaya apabila dewasa.

Keadaan ini berbeza bagi kanak-kanak yang dibesarkan dalam persekitaran berbeza. Sebagai contoh apabila bersekolah, mereka menerima guru yang bengis dan garang, berkawan dengan rakan yang membesar sebagai pembuli serta diasingkan daripada orang lain ini menyebabkan pembentukan emosi mereka tetap sama.

“Jiwa mangsa dera ini sangat rapuh dan memerlukan persekitaran yang selamat dan ‘bersih’ supaya mereka dapat hidup dengan tenang dipenuhi kasih sayang. Ini supaya mereka dapat melupakan apa yang berlaku dan memberikan sepenuh perhatian terhadap pembelajaran serta pembentukan diri mereka sendiri,” katanya.

Mangsa dera juga memerlukan ruang untuk meluahkan perasaan. Jika tidak boleh bercakap, mereka diminta melukis apa yang ada dalam fikiran. Setiap lukisan mempunyai maksud tersendiri. Insan yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga mangsa dera juga harus sabar dan faham apa yang berlaku ke atas kanak-kanak sebelum ini. Mereka perlu bersedia mendengar dan mendidik anak-anak ini menjadi seorang yang positif dan berkeyakinan tinggi.

Penderaan juga boleh dielakkan seandainya bakal ibu bapa mendalami ilmu mendidik anak-anak dengan lebih mendalam. Jika sebelum berkahwin pasangan diwajibkan menjalani kursus perkahwinan, ia sama saja. Ibu bapa perlu melengkapkan diri dengan ilmu mendidik anak sama ada menerusi pembacaan atau pengalaman orang lain.

Apa yang berlaku kini, anak-anak mengambil mudah urusan perkahwinan kerana merasakan ibu bapa boleh menyelesaikannya.

Ibu bapa perlu faham mendidik anak-anak adalah satu anugerah. Ia sama seperti kerjaya profesional yang memerlukan seseorang itu faham dan mahir dalam apa yang dilakukan mereka, sama juga dalam mendidik anak-anak. Perlu profesional dan memahami setiap masalah sehingga akar umbinya.

“Pada saat sebelum berkahwin lain, majlis perkahwinan ditanggung ibu bapa, selepas berkahwin dan memiliki anak, ada pasangan muda berasa segalanya menjadi mudah kerana urusan menjaga anak boleh diserahkan kepada ibu bapa di kampung.

“Ada pula membayangkan memiliki anak sangat mudah tanpa memikirkan cabaran dan persediaan ke arah itu. Sebab itu apabila mengalami tekanan, anak-anak menjadi mangsa penderaan ibu bapa,” katanya.

Guru pula tidak seharusnya melabelkan pelajar hanya disebabkan tingkah laku anak-anak ini yang berbeza berbanding pelajar lain. Misalnya seorang yang pendiam, tidak membuat kerja sekolah, suka memberontak dan pemarah kerana apa saja yang ditunjukkan ada sebabnya. Selidik dulu mengapa mereka menunjukkan sikap sedemikian.

Dari sudut lain, kes dera perlu dilihat sebagai satu isu yang wajar diambil tindakan dan diletakkan satu akta hukuman khas bagi pelaku. Ini bagi memastikan keselamatan kanak-kanak dijaga, selain hukuman kepada pelaku supaya mereka belajar daripada kesilapan.

“Selain itu, masyarakat perlu dididik untuk sentiasa menjaga ketenteraman bersama. Dalam menangani isu berat ini, kita perlu melakukan anjakan dalam pelbagai aspek bagi memastikan tiada mangsa dan pemangsa yang mampu mengundang masalah kepada masyarakat.

“Anjakan ini hendaklah bermula daripada pendidikan, media massa dan perubahan masyarakat sendiri. Ini sekali gus dapat memberi penurunan kepada statistik penderaan kanak-kanak pada masa kini, seterusnya sifar pada masa hadapan,” kata Mastura.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2015 @ 11:20 AM