Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Norsyazwani Nasri

Sarikei: Seorang lelaki lemas ketika mahu menyelamatkan perahunya yang hanyut selepas tali pengikat terlepas di sungai Muara Payang, Bintangor, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa dikenali Aziz Yusuf, 40, dari Kampung Medong, Dalat dikatakan mahu menyelamatkan perahu di sungai berkenaan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Nicholas Belulin

berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 4.41 petang.

"Kita menggerakkan lapan anggota BBP Bintangor ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Saksi kejadian, Aini Paris berkata, mangsa cuba berenang untuk mendapatkan perahunya yang terlepas talinya namun gagal dan lemas," katanya dalam kenyataan hari ini.

"Laporan polis berhubung kes ini sudah dibuat oleh keluarga mangsa. Operasi SAR dijalankan menyusur ke hilir sungai Batang Rajang, ditangguhkan pada jam 7.13 malam ini kerana cuaca gelap dan akan disambung esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2022 @ 8:57 PM