Aizat Sharif


Sanglang: Ketika musim kering melanda Perlis sekitar Januari hingga April, bendang menjadi kering tanpa sebarang aktiviti penuaian padi.

Padi yang kering dalam setiap petak sawah akan dikumpulkan menjadi jerami dan kawasan bendang menjadi kosong sehinggakan ada yang menjadikan ia padang bola sepak sementara bagi kanak-kanak dan remaja.

Konsep bola bendang sama seperti permainan bola sepak namun yang membezakannya ialah lokasi permainan iaitu petak bendang yang sudah kering.

Permukaan tanah yang lembut serta tidak sekata tidaklah memberi masalah kepada pemain untuk terus bermain di kawasan itu.

TERTUSUK duri serta permukaan tanah bendang tidak sekata bukanlah penghalang kepada kanak-kanak melepaskan peluang bermain bola bendang. FOTO Aizat Sharif
TERTUSUK duri serta permukaan tanah bendang tidak sekata bukanlah penghalang kepada kanak-kanak melepaskan peluang bermain bola bendang. FOTO Aizat Sharif

Bagi penduduk Kampung Permatang Bongor, di sini, permainan bola bendang sudah bermula sekitar 2015 lalu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Permatang Bongor, Azrisham Abdul Jamil, tradisi bola bendang lazimnya dimainkan sebelum proses pembakaran jerami dilakukan.

"Sebelum datang musim menuai dan proses pembakaran jerami, inilah aktiviti kami di kampung dan ia dilakukan setiap tahun yang mana pelbagai sukan diadakan pada petak sawah yang kering ini.

"Namun, bola bendang inilah yang sering mendapat tempat dalam kalangan kanak-kanak, remaja dan dewasa.

"Segalanya dilakukan secara sendiri oleh penduduk seperti tiang gol diperbuat daripada buluh dalam petak bendang ini," katanya ketika ditemui di Kampung Permatang Bongor, di sini semalam.

Katanya, bola bendang itu wujud apabila golongan dewasa yang bermain bola sepak di padang berhampiran tidak dapat lagi bermain di padang berkenaan atas sebab tertentu.

"Apabila wujudnya tradisi bola bendang ini, maka penduduk kampung berhampiran juga menyertainya menerusi perlawanan persahabatan yang dianjurkan.

"Dalam setahun ada dua kali bola bendang dapat dimainkan kerana apabila air sudah memenuhi petak sawah maka berakhirnya musim bola bendang," katanya.

Bagi pembantu restoran, Mohamad Syazwan Shamsun Putra, 24, sebagai anak jati di kampung itu, dia tidak segan silu bermain bola bendang bersama kanak-kanak dan remaja sekampung.

"Persediaan 'padang' dilakukan secara gotong-royong. Penduduk bersama-sama membersihkan bendang sebelum mendirikan tiang gol yang diperbuat daripada buluh dan kita semua pun bermain secara 'kaki ayam' saja," katanya.

Rakannya, Mohd Tahfiz Hakim Mohd Nazri, 11, dari Sekolah Agama Al-Islahiyah, Simpang Empat berkata, cabaran bola bendang bukanlah disebabkan permukaan tanahnya yang lembut dan tidak sekata tetapi duri kering yang banyak di bendang.

"Saya mula bermain sejak setahun lalu jadi tertusuk duri adalah perkara biasa kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 10:47 AM