Aizat Sharif

Kangar: Hanya orang yang memahami usaha Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan dapat melihat bahawa Timbalan Perdana Menteri itu sentiasa berusaha untuk mendapatkan pengampunan penuh bagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengulas mengenai kajian badan bukan kerajaan (NGO), Ilham Centre yang menyatakan bahawa sokongan ahli UMNO terhadap Ahmad Zahid semakin merudum selepas kegagalannya mendapatkan pengampunan penuh terhadap Najib.

"Itu jawapannya (kajian) bila ditanya kepada suatu kumpulan tertentu namun bila ditanya kepada orang yang (benar) memahami, dia akan menyatakan bahawa presiden berusaha dan terus berusaha," katanya selepas menghadiri Majlis Sembang Santai Bersama Datuk Seri Ahmad Maslan di Bintong, di sini semalam.

Majlis turut dihadiri Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Ruzaini Rais.

Katanya, UMNO sentiasa mendukung kepada usaha agar Najib dapat diberi pengampunan yang penuh di atas dua sebab.

AHMAD Maslan. FOTO Aizat Sharif
AHMAD Maslan. FOTO Aizat Sharif

"Sebab pertama adalah kerana sepanjang proses perbicaraan hingga semakan kehakiman yang diketuai Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli selaku Ketua Semakan Kehakiman itu menunjukkan bahawa keputusan Abdul Rahman sendiri sebagai ketua tidak sama dengan empat hakim yang lain.

"Malah, Abdul Rahman pada masa itu memutuskan bahawa Najib wajar dibebas dan dilepaskan dan dan semua orang tahu pun kontroversi yang berlaku di pelbagai peringkat mahkamah tinggi, rayuan dan persekutuan yang membawa kepada rumusan bahawa Najib tidak diberikan penghakiman yang adil dan proses perbicaraan yang adil.

"Sebab kedua adalah jasa beliau (Najib) yang bukan hanya sebagai Perdana Menteri, tetapi jasanya yang sudah bermula sejak usianya 23 tahun hingga 65 tahun apabila menjadi ahli parlimen buat kali pertama selepas kematian bapanya, Tun Abdul Razak sehinggalah dilantik menjadi Timbalan Menteri, Menteri Besar Pahang, Menteri di beberapa kementerian, Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri," katanya.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya dan Ahli Parlimen Pontian berkata, rayuan kepada Yang DiPertuan Agong, Sultan Ibrahim akan dibuat.

"Saya difahamkan ia sekrang ini dalam proses untuk dilakukan dan sudah tentu rayuan itu perlu datang daripada keluarga dan peguam Najib itu sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2024 @ 11:06 AM