Gambar hiasan
Gambar hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Ampang: Akibat menegur dua pelanggan yang membuat bising di kedai runcit, seorang peniaga cedera dipukul pelanggan itu dalam kejadian di Taman Pandan Cahaya di sini, semalam.

Kejadian berlaku pada 9.30 malam ketika tiga lelaki masuk ke dalam kedai mangsa yang juga lelaki berusia 25 tahun untuk membeli minuman keras.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, semasa di dalam kedai, dua daripada mereka bersuara tinggi menyebabkan mangsa menegur kedua-dua lelaki itu dan meminta mereka keluar.

"Selepas itu apabila mangsa keluar dari kedai, dua lelaki itu datang ke arahnya lalu memukul bahagian dada dan belakang badan pengadu menggunakan tangan serta kayu.

"Pada masa sama, orang awam yang berada di sekitar lokasi dan menyaksikan kejadian bersama seorang lagi rakan suspek membantu meleraikan pergelutan itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan kejadian, Mohamad Farouk berkata, mangsa mengalami kecederaan di bahagian lengan kiri, belakang badan dan dada.

Katanya, sepasukan polis yang menerima maklumat kejadian ke lokasi dan menahan kedua-dua suspek berusia 23 serta 26 tahun, selain merampas sebatang kayu yang digunakan.

"Pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek warga Myanmar dan tidak bekerja. Semakan turut menunjukkan mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan sah," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2022 @ 10:06 PM