Nurul Hidayah Bahaudin

Ampang Jaya: Polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita dipercayai terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah dalam dua serbuan berasingan di Pandan Perdana, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang memandu kereta Nissan Sentra di kawasan Perdana jam 9.30 pagi.

"Hasil pemeriksaan dilakukan di dalam kenderaan itu menemui satu parang, satu pistol berserta kelopak berisi 10 peluru hidup selain 460 pil ekstasi seberat 225.8 gram.

"Soal siasat terhadap suspek berkenaan membawa kepada penahanan seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia 51 serta 46 tahun di sebuah rumah di Pandan Perdana, hari sama.

"Dalam serbuan itu, kami merampas dadah jenis syabu seberat 3.6 gram serta 10 pil ekstasi 5.5 gram. Kami turut merampas kereta jenis Toyota Mark X menjadikan nilai keseluruhan rampasan termasuk dadah berjumlah RM66,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, di sini, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, hasil soal siasat dilakukan mendapati seorang daripada tiga suspek berkenaan mengaku senjata api terbabit adalah miliknya yang digunakan untuk perlindungan diri.

"Senjata api itu dibeli oleh suspek di negara jiran pada awal tahun lalu pada harga RM17,000. Bekalan dadah berkenaan pula dipercayai diperolehi daripada pengedar di Lembah Klang.

"Semakan mendapati dua suspek lelaki mempunyai rekod jenayah berkaitan kes dadah, manakala suspek wanita tiada rekod.

"Hasil ujian saringan air kencing dilakukan mendapati dua suspek lelaki positif dadah jenis methaphetamin, manakala suspek wanita negatif dadah," katanya.

MOHAMAD Farouk Esha (tengah) menunjukkan barang rampasan ketika sidang media melibatkan kes curi kenderaan dan pengedaran dadah di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya. FOTO BERNAMA
MOHAMAD Farouk Esha (tengah) menunjukkan barang rampasan ketika sidang media melibatkan kes curi kenderaan dan pengedaran dadah di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya. FOTO BERNAMA

Katanya, semua suspek berkenaan direman selama tujuh hari bermula 2 hingga 8 Januari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 39A(1) ADB 1952, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama selain Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2021 @ 5:21 PM