TINJAUAN segelintir peniaga yang tidak mengendahkan pematuhan SOP kerana tidak memakai pelitup muka dengan sempurna.FOTO Ghazali Kori
TINJAUAN segelintir peniaga yang tidak mengendahkan pematuhan SOP kerana tidak memakai pelitup muka dengan sempurna.FOTO Ghazali Kori
Suraya RoslanMuhaamad Hafis NawawiZatul Iffah ZolkiplyNuraliawati SabriNoorazura Abdul RahmanNurul Amanina Suhaini dan Yun Mikail


Kuala Lumpur: Pelitup muka yang sepatutnya berfungsi sebagai pelindung daripada virus Covid-19 kini dilihat sekadar dijadikan aksesori hiasan buat sebahagian peniaga apabila hanya diletakkan di dagu.

Tinjauan Harian Metro mendapati rata-rata peniaga di sekitar Bangsar, Pantai Dalam, Cheras dan Ampang mengenakan pelitup muka, tetapi tidak begitu sempurna.

Ada antara mereka meletakkannya di dagu, lengan dan sekadar tergantung di leher sahaja.

Bagi mereka sekiranya pemeriksaan dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM) atau pihak berkuasa, mereka sempat memakai pelitup muka itu bagi mengelak dikenakan kompaun.

Wartawan mendapati tiada seorang pelanggan pun berani menegur peniaga yang meletakkan pelitup muka di dagu sedangkan ia menjadi satu kesalahan di bawah akta KKM.

Tinjauan juga mendapati pemakaian pelitup muka dianggap remeh sesetengah peniaga dan tidak menganggapnya mampu melindungi daripada Covid-19.

Seorang peniaga gerai di Cheras yang enggan dikenali berkata, cuaca panas kadangkala membuatkan peniaga rimas untuk mengenakan pelitup muka.

"Memang kita tahu salah tetapi kadang-kadang kita manusia tidak lari daripada melakukan kesalahan.

"Kadang-kadang saya terpaksa meletakkan pelitup muka di dagu kerana sukar bernafas dan rimas terutama apabila ramai pelanggan," katanya.

Seorang pekerja kedai makan di Ampang pula berkata, sudah menjadi kebiasaan untuknya sekiranya memasak, dia tidak memakai pelitup muka.

"Tetapi kami memang 'standby' pelitup muka sekiranya diserbu secara mengejut.

"Setakat ini tiada pelanggan yang pernah tegur kenapa saya tidak memakai pelitup muka dengan sempurna, mungkin mereka faham," katanya.

Sementara itu, pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata, objektif pemakaian pelitup muka yang sepatutnya menjadi pelindung saluran pernafasan daripada dimasuki virus Covid-19 tidak tercapai sekiranya orang ramai masih merasakan ia sekadar aksesori.

"Kita perlu akui pemakaian pelitup muka tidak mencapai objektif kerana orang ramai masih tidak merasakan tujuan pemakaian pelitup muka untuk melindungi diri, tetapi sebab takut ditegur polis atau penguatkuasaan.

"Mereka juga sudah mula membezakan kenapa negara lain seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat tidak lagi mengamalkan pemakaian pelitup muka," katanya.

Menurutnya, semua orang perlu memahami kemampuan negara berkenaan daripada segi sistem kesihatan mereka sudah bersedia untuk menangani bilangan kes yang naik mendadak.

KELIHATAN sebahagian peniaga memakai pelitup muka hanya di bawah dagu pada tinjauan. FOTO Aswadi Alias
KELIHATAN sebahagian peniaga memakai pelitup muka hanya di bawah dagu pada tinjauan. FOTO Aswadi Alias

"Tetapi tidak di Malaysia, jika kes naik mendadak dan penggunaan ventilator mencapai tahap maksimum, sistem kesihatan kita akan lumpuh.

"Disebabkan itu, kita masih meneruskan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka kerana sistem kesihatan kita tidak bersedia sekiranya kes naik mendadak seperti yang berlaku sebelum ini," katanya.

Dr Hanafiah berkata, apa yang boleh dilakukan KKM adalah hanya menyeru dan menasihati orang ramai supaya terus memakai pelitup muka dan pematuhan prosedur operasi standard.

"Nasihat, nasihat dan nasihat perkara sama saja, kemudian kompaun, selebihnya sudah tiba masanya kerjasama dan kesedaran orang ramai diperlukan untuk memahami tujuan pemakaian pelitup muka," katanya.

Sementara itu, laman web rasmi KKM menyatakan pelitup muka bertujuan melindungi saluran pernafasan daripada dimasuki virus Covid-19 melalui hidung dan mulut.

Covid-19 boleh merebak melalui titisan cecair dalam bentuk partikel yang besar atau partikel kecil (aerosol).

Aerosol boleh kekal di udara untuk tempoh yang lebih lama dan bergerak lebih jauh dari 1 hingga 2 meter bergantung kepada aliran udara dan keadaan sekeliling.

Tempat terbuka kurang risiko jangkitan berbanding tempat tertutup kerana aliran udara sentiasa bergerak tetapi jika sesak dengan orang ramai, risiko jangkitan juga adalah tinggi.

Apabila ramai orang berhimpun dan tidak mematuhi SOP, sudah pasti lebih banyak virus Covid-19 berada di udara.

Oleh itu, orang ramai dinasihatkan sentiasa pakai pelitup muka dan elak tempat berisiko atau jika terpaksa berada di kawasan itu, hadkan tempoh masa.

Malaysia mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam bermula 1 Ogos 2020 dalam usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19.

Hasil dapatan daripada kajian yang dijalankan merumuskan pemakaian pelitup muka adalah sangat penting.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 12:00 PM