Ronald Kiandee berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Pulau Pinang di Penang Golf Resort (PGR) Kepala Batas. FOTO Nur Izzati Mohamad
Ronald Kiandee berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Pulau Pinang di Penang Golf Resort (PGR) Kepala Batas. FOTO Nur Izzati Mohamad
Oleh Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mengambil langkah intervensi terhadap bekalan sayur sekiranya berlaku kenaikan harga bagi makanan itu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata ia adalah usaha memastikan pengguna mendapat harga yang memadai walaupun langkah itu tertakluk kepada kenaikan kos import.

"Sejak dua tahun lalu, terdapat turun naik harga bekalan makanan yang ia adalah disebabkan kos import yang tertakluk kepada perubahan kos luar negara yang di luar kawalan kerajaan.

"Bagi bekalan sayur, jika ia perlu ada intervensi daripada kerajaan sebagaimana yang berlaku pada ayam dan telur ayam iaitu dengan kerajaan memberi subsidi dan sebagainya, kita akan bantu bagi memastikan pengguna mendapat harga yang memadai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu kenaikan harga sayur pada ketika ini pada sidang media selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Pulau Pinang Ke-48 di sini, hari ini.

Jelasnya, kerajaan melalui MAFI dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa memantau dari segi bekalan dan harga bekalan makanan dari semasa ke semasa.

"Pada ketika ini walaupun kita lihat berlaku kenaikan harga makanan namun ia adalah pada tahap stabil dan masih dalam kawalan.

Terdahulu, KPDNHEP mengesahkan tidak berlaku kekurangan bekalan sayur dalam negara pada masa ini berikutan kemerosotan itu hanya pada tahap 10 peratus.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata situasi semasa itu berdasarkan maklumat daripada Persekutuan Persatuan Pekebun-Pekebun Sayur Malaysia.

Katanya, ia adalah disebabkan oleh cuaca hujan dan kemerosotan permintaan sekitar bulan lalu namun pengurangan 10 peratus itu adalah pada paras pusingan normal.

Sebelum ini media melaporkan akibat ketidaktentuan cuaca yang ketara ketika ini menyebabkan kebanyakan pekebun di Cameron Highlands kehilangan 30 hingga 40 peratus hasil pendapatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2022 @ 2:46 PM