DR Ronald Kiandee menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri ketika Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. FOTO Bernama.
DR Ronald Kiandee menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri ketika Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. FOTO Bernama.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sedang mempertimbangkan pelaksanaan subsidi atau insentif bersasar bagi menangani isu kenaikan kos input pertanian khasnya baja dan racun makhluk perosak.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, cadangan itu adalah usaha pihaknya bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membantu golongan petani yang terkesan.

"MAFI dan KPDNHEP sentiasa peka dengan kenaikan harga baja dan racun bagi memastikan produktiviti pengeluaran tidak terjejas dan bekalan sentiasa mencukupi dengan harga yang stabil dan berpatutan," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) yang ingin tahu mengenai isu kenaikan kos input pertanian khasnya baja yang mencecah sehingga 70 peratus dan tindakan yang diambil oleh MAFI bagi menangani isu itu yang menjejaskan pendapatan petani.

Ronald berkata, berdasarkan perbincangan dan sesi libat urus yang diadakan dengan pihak berkepentingan, antara punca yang dikenal pasti berhubung isu itu adalah perubahan dasar dari negara pengeksport, kenaikan kos bahan mentah, gangguan logistik dan spekulasi pasaran.

"Apabila bekalan baja dan racun berkurangan di pasaran dengan permintaan sentiasa berterusan daripada petani, maka peningkatan harga juga berlaku di sepanjang rantaian pembekalan produk itu.

"Beberapa cadangan penyelesaian diangkat oleh MAFI dan KPDNHEP secara bersama untuk pertimbangan Jemaah Menteri pada 12 November lalu dengan memberi penekanan supaya kesan pelaksanaan mana-mana inisiatif, intervensi dan program kelak dapat dirasai oleh rakyat secara berpanjangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 12:05 PM